PBTSELANGOR

MBSA anjur pertandingan Anugerah Landskap Shah Alam

OLEH: ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 10 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengalu-alukan orang ramai dan pihak sekolah menyertai pertandingan Anugerah Landskap Shah Alam yang bakal dimulakan pada 1 September hingga 1 November ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, anugerah itu dibahagikan kepada dua iaitu melibatkan premis kediaman individu dan sekolah.

“Program tersebut adalah salah satu inisiatif MBSA bagi menerapkan nilai budaya landskap, menyemai kesedaran dan memupuk tanggungjawab terhadap kebersihan dan keindahan persekitaran sekolah serta kediaman persendirian,” katanya.

Penyertaan tersebut adalah percuma dan terbuka kepada semua penduduk yang terletak di bawah pentadbiran MBSA.

“Anugerah Landskap Shah Alam ini mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori Sekolah bagi peringkat sekolah rendah dan menengah serta Kategori Kediaman Individu seperti rumah teres, banglo dan kediaman tradisional,” katanya kepada SelangorKini.

Pemenang tempat pertama bagi kategori Landskap Terbaik Sekolah Rendah dan Menengah masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, RM2,000 hadiah tempat kedua dan RM1,000 hadiah tempat ketiga. Turut ditawarkan lima hadiah sagu hati bernilai RM500.

Bagi kategori Landskap Kediaman Terbaik akan menerima wang tunai sebanyak RM1,500 bagi tempat pertama, RM850 bagi tempat kedua, RM500 bagi tempat ketiga dan lima hadiah sagu hati berjumlah RM200.

Shahrin berkata, pertandingan tersebut diharap dapat menjadi platform untuk mengiktiraf hasil kerja landskap warga Shah Alam dari aspek reka bentuk, pembangunan dan penyelenggaraan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Landskap di talian 03-5510 5133.


Pengarang :