Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
AGENDAPBTSELANGOR

MBSA jangka kutipan hasil meningkat 2020

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjangkakan peningkatan 6.9 peratus bagi kutipan hasil tahun hadapan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, peningkatan itu akan menyaksikan kutipan RM480,574,090 berbanding RM449,408,700 bagi tahun 2019.

“Hasil Cukai iaitu kutipan cukai taksiran dijangka meningkat dan menyumbang sebanyak RM317.20 juta atau 66.0 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil.

“Anggaran peningkatan hasil cukai taksiran adalah sebanyak RM10.64 juta iaitu 3.5 peratus berbanding anggaran tahun semasa.

“Manakala, Hasil Bukan Cukai dijangka akan menyumbang sebanyak RM154.87 juta atau 32.2 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil dan ia dijangka bertambah sebanyak RM20.5 juta berbanding tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Belanjawan MBSA 2020, di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Haris berkata, sewaan merupakan penyumbang utama kepada Hasil Bukan Cukai dengan pertambahan sebanyak 25.1 peratus berbanding tahun 2019.

Katanya, peningkatan itu berlaku disebabkan penswastaan dewan MBSA.

“Selain itu, peningkatan Hasil Bukan Cukai turut dianggarkan bagi Hasil Lesen, Bayaran Pendaftaran dan Permit yang menyumbang sebanyak RM22.4 peratus.

“Manakala, bagi Faedah dan Perolehan dari Pelaburan sebanyak 22 peratus serta Denda dan Kompaun sebanyak 16.5 peratus,” katanya.


Pengarang :