PBTSELANGOR

MBSA johan ‘Putrajaya KL Tug Of War Club Championship 2019’

OLEH ALIFF HAIKAL JOHARI

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Pasukan tarik tali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjuarai kejohanan ‘Putrajaya KL Tug Of War Club Championship 2019’ yang diadakan di Padang Merbok Kuala Lumpur, pada 26 hingga 31 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, MBSA memenangi kategori ‘Outdoor Senior Men 680kg Traditional’ dengan menewaskan pasukan Semutango Penjara Sungai Buloh.

Katanya, kejayaan pasukan Pihak Berkuasa Tempatan itu amat membanggakan, sekali gus menaikkan imej majlis di mata masyarakat.

“Kejayaan ini juga menggalakkan lebih ramai kakitangan untuk membabitkan diri secara langsung supaya dapat melahirkan kakitangan yang cergas dan berdisiplin,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, pasukan tarik tali MBSA juga pernah menjuarai pertandingan anjuran Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Bandaraya Jasin, Majlis Bandaraya Teluk Intan dan lain-lain.

Atas kejayaan itu, MBSA berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta pingat.

Kejohanan peringkat antarabangsa itu disertai lima negara lain iaitu Brunei, Singapura, Afrika Selatan, China serta Malaysia dan mempertandingkan sebanyak 10 kategori.

Hadiah disampaikan Penaung Persatuan Tarik Tali Wilayah Persekutuan, Razalif Mohamad Zain.


Pengarang :