Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
SELANGOR

MBSA perkenal sewaan skuter elektrik bulan depan

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkenalkan perkhidmatan sewaan skuter elektrik, bulan depan.

Datuk Bandarnya, Dato’ Haris Kasim berkata, sebanyak 100 unit skuter elektrik itu akan beroperasi di sekitar pusat bandar.

Katanya, ia akan dilaksanakan melalui syarikat Neuron dan akan dipertingkatkan lagi pada tahun hadapan.

“Inisiatif ini bertujuan memantapkan lagi sistem pengangkutan bandar secara sistem pintar.

“Selain itu, MBSA turut akan membeli sebuah lagi bas elektrik dan akan beroperasi pada 2020 dengan menggunakan laluan Bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan Belanjawan MBSA 2020, di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, di sini.

Haris berkata, MBSA bersama Kerajaan Negeri dalam keadaan siap siaga ke arah agenda bandar pintar dengan pengukuhan teknologi maklumat yang membolehkan pelaksanaan lebih efisien dan menyeluruh.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan fungsi kecekapan dan produktiviti pengurusan sesebuah bandar raya.

“Dalam menyokong gagasan perdana iaitu Negeri Pintar 2025, MBSA mengikut rapat perkembangan terkini globalisasi sebagai persediaan Shah Alam menuju bandar raya pintar.

“Hal ini termasuk kepada peralihan kaedah dan amalan semasa ke dalam sistem seperti pengangkutan awam, pengurusan sisa, pengurusan tenaga (elektrik), pengurusan trafik, keselamatan awam, pengurusan data pengguna dan kesejahteraan sosial masyarakat,” katanya.

Pada 2017, MBSA melancarkan dua unit bas elektrik bagi merealisasikan matlamat bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

Perkhidmatan bas percuma itu menggantikan dua unit bas diesel sedia ada yang disediakan untuk kegunaan orang awam yang menghubungkan Seksyen 19 dan 7 melalui pusat bandar di Seksyen 2, 3, 6 dan 7.


Pengarang :