Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBSA tawar potongan kompaun hingga 50 peratus

SHAH ALAM, 26 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan melaksanakan Kempen Pengurangan Kompaun sehingga 50 peratus sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-19, bermula 1 hingga 30 Oktober.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, kempen berkenaan bagi memberi peluang kepada Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun mereka.

“Ia adalah inisiatif MBSA membantu dan menggalakkan OKK menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

“Antara jenis kompaun yang layak mendapat pengurangan sehingga 50 peratus adalah Undang-undang Kecil (UKK) Kedai Gunting Rambut 1983, UKK Taman 2005, UKK Vandalisme 2005, UKK Establisymen Makanan, UKK Pengendali Makanan, UKK Iklan, UKK Penjaja, UKK Pasar dan Perintah Pengangkutan Jalan 2007,” katanya.

Shahrin berkata, selain itu, kompaun Tempat Letak Kereta (Perintah Pengangkutan Jalan MBSA) akan diberikan pengurangan sehingga RM30 daripada jumlah asal di semua kaunter pembayaran MBSA.

“Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun, MBSA akan menyediakan perkhidmatan Pejabat Bergeraj Shah Alam On Wheel (SAOW) di setiap hari Sabtu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan kompaun mereka sebelum tindakan tegas diambil ke atas OKK antaranya sekatan urusniaga atau tindakan mahkamah,” katanya.

Orang ramai boleh membuat pembayaran kompaun di Kaunter Utama, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Pejabat Cawangan Kota Kemuning dan Setia Alam.

Untuk kompaun kesalahan tempat letak kereta, OKK boleh menjelaskan bayaran melalui Maybank2U, kaunter Bank Muamalat dan Bank Rakyat.

Selain itu, saluran bayaran JomPAY diperkenalkan untuk memudahkan OKK kesalahan yang sama membuat bayaran dengan hanya memasukkan kod bil 6726, nombor kompaun pada ref1 serta nombor telefon pada ref2 dan seterusnya jumlah bayaran.


Pengarang :