Setiausaha MDKS, Azman Dahlan (baju putih) bersama penguat kuasa membuat pemantauan pada hari pertama pelaksanaan bayaran parkir di Kuala Selangor. Foto MDKS
PBTSELANGOR

MDKS keluar 70 kompaun hari pertama bayaran parkir

KUALA SELANGOR, 4 SEPT: Sebanyak 70 kompaun dikeluarkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) atas kesalahan gagal mempamerkan kupon letak kereta pada hari pertama pelaksanaannya, semalam.

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, sejumlah RM10 dikenakan bagi mereka yang membuat bayaran dalam tempoh 24 jam dan akan meningkat kepada RM30 dalam tempoh 14 hari jika lewat.

“Bagaimanapun, pada hari pertama pelaksanaan sistem ini berjalan lancar dan kebanyakan pengguna memahami serta mematuhi pelaksanaannya.

“Hanya terdapat segelintir pengguna yang masih keliru dengan tarikh pelaksanaan yang bermula semalam, namun MDKS akan berterusan menjalankan proses habahan kepada orang awam melalui Facebook dan laman rasmi kami,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah berkata, orang ramai boleh mendapatkan kupon gores melalui 140 ejen yang dilantik di semua kawasan Operasi Tempat Letak Kereta.

Katanya, untuk memudahkan pengguna, mereka juga boleh menggunakan aplikasi ‘Smart Selangor Parking’ dan ‘Flexi Parking’ yang boleh dimuat turun melalui ‘Google Play’ dan ‘Apple Store’.

“Selain itu, MDKS juga menawarkan harga promosi pas bulanan bernilai RM60 mulai September hingga Disember 2019 dan mulai 1 Januari 2020 harga pas bulanan itu akan dijual pada harga asal iaitu RM70 sebulan.

“Orang ramai boleh mendapatkannya dengan menghubungi 0332811654 untuk tempahan pembelian,” katanya.


Pengarang :