AGENDA NASIONAL

Mekanisme kekang provokasi dalam negara memadai

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Negara mempunyai pelbagai mekanisme bagi mengawal sebarang penularan maklumat berunsur provokasi atau keganasan di negara ini, kata ahli akademik.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah cukup bagi mengekang sebarang krisis yang berlaku dalam negara.

“Negara kita diiktiraf kerana mempunyai pengurusan pencegahan yang baik. Langkah menyekat penggunaan media sosial adalah alternatif terakhir yang boleh diambil sekiranya mekanisme lain gagal.

“Saya berpendapat, langkah menutup media sosial tidak perlu dilakukan kerana seolah-olah kita katakan rakyat negara ini mudah terpengaruh dan tidak mempunyai perlindungan kendiri yang bagus dan ini juga merupakan satu bentuk diskriminasi serta tanggapan tidak elok untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dapatan hasil kaji selidik firma penyelidikan bebas, Ipsos Global Advisor (Ipsos) yang mendapati majoriti responden rakyat Malaysia mahu kerajaan menutup sementara media sosial bagi mengekang penyebaran berita palsu ketika krisis.

Noor Nirwandy berkata, di negara ini konteks kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu difahami rakyat bagi mengelak daripada menyentuh perkara sensitif yang berbaur hasutan dan perkauman.

“Dalam era teknologi sekarang, sebarang bentuk hasutan dan kebangkitan yang menggalakkan berlakunya konflik dalam negara atau yang boleh mencetuskan keganasan, boleh bermula dengan kemahiran teknologi minimum yang mudah diakses.

“Pengguna media sosial mempunyai kemahiran minimum untuk mengolah, melakukan suntingan atau membina mesej dengan mudah menerusi video, poster dan hantaran di media sosial yang mana ia membuka ruang kepada isu seperti berita palsu yang boleh mencetuskan provokasi dan menggugat perkauman…ini harus dilihat bagi memastikan media sosial tidak disalahgunakan,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara tersebut, Noor Nirwandy menyarankan agar agensi kerajaan bekerjasama dengan pakar akademik termasuk pakar perang saraf bagi membangunkan strategi jangka panjang untuk mewujudkan persekitaran positif dalam media sosial.

“Gerakan perang saraf ini perlu bagi memastikan suasana interaksi media sosial lebih cenderung kepada kognitif positif yang akhirnya akan mendorong orang ramai atau pengguna media sosial berinteraksi secara positif dan seterusnya menggagalkan sebarang cubaan yang berunsur negatif yang boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :