SUKANKINI

Misi berbeza Cheng Hoe di Stadium Gelora Bung Karno

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe tidak menjadikan pencapaian bersejarah pada 2010 sebagai azimat menjelang pertembungan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Aksi berdepan skuad Garuda pada perlawanan sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu mempunyai nilai berbeza bagi Cheng Hoe berbanding kejayaan menjulang Piala AFF sewaktu menjadi pembantu ketua jurulatih sembilan tahun lalu.

Pengendali berusia 51 tahun itu menyifatkan intensiti perlawanan kali ini lebih tinggi memandangkan setiap pasukan memburu slot automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia atau sekurang-kurangnya mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Memang kita raih keputusan baik waktu itu (2010) tetapi kali ini suasana berbeza kerana ini Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Kita perlu tahu bahawa pasukan Indonesia pun mempunyai persiapan baik dan rapi selain mereka turut menyenaraikan beberapa pemain naturalisasi untuk membantu pasukan kali ini.

“Dan sudah tentu kita pergi ke sana (Jakarta) dengan satu matlamat dan tujuan kalau kita ingin layak ke peringkat yang lebih tinggi kita kena fokus setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia dinobatkan juara Piala AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno selepas mencatat kemenangan agregat 4-2.

Pada masa sama, Cheng Hoe menegaskan tumpuannya kini adalah kepada percaturan pasukan bagi melengkapkan misi meraih tiga mata berharga.

“Saya nak lebih fokus kepada pasukan sahaja, kita tidak boleh selalu fokus kepada pasukan lawan. Saya juga selalu ingatkan pemain kena sentiasa berikan tumpuan kepada perlawanan dan elakkan dari melayan perang psikologi dilancarkan penyokong lawan di media sosial,” tambah beliau.

-BERNAMA


Pengarang :