AGENDANASIONAL

Mohamad Sabu rakam takziah kepada keluarga Mejar Mohd Zahir

SHAH ALAM, 4 SEPT: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas, Mejar Mohd Zahir Armaya yang maut, ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

“Saya merakamkan simpati mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Saya berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati atas kesedihan ini,” katanya.

Mohamad turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai bagi menghormati keluarga Allahyarham.

Allahyarham yang juga anak kepada seniman AR Badul menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 9.20 pagi.

Mohd Zahir dilaporkan menyertai demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu bermula kira-kira 8.30 pagi dan kumpulan demonstrasi itu adalah persembahan ketiga yang dilakukan.

Ketika kejadian, mangsa berbaju putih dan bertopeng beraksi sebagai penjenayah yang ditembak mati anggota tentera.

Mangsa kemudian rebah dan diheret ke tepi sebelum persembahan ditamatkan.

Bagaimanapun, mangsa didapati tidak sedarkan diri sebelum topeng mukanya dibuka dan mukanya berlumuran darah.

Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, sebelum disahkan meninggal dunia.


Pengarang :