AGENSISELANGOR

Mohd Shahzihan Ahmad dilantik Pengarah JAIS

SHAH ALAM, 13 SEPT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melantik Mohd Shahzihan Ahmad sebagai Sahibus Saadah Pengarah JAIS yang baharu berkuatkuasa 10 September lalu.

JAIS dalam kenyataan memaklumkan, Mohd Shahzihan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Syariah Wal-Quran dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Beliau memulakan karier perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir Agama daerah di Pejabat Agama Islam Sepang pada 4 Disember 1994.

“Lebih 25 tahun berpengalaman bersama JAIS dan beliau sangat dekat dengan perundangan hal ehwal Islam serta penguatkuasaan undang-undang, selain pernah diberi kepercayaan mengetuai hampir keseluruhan bahagian di JAIS,” kata kenyataan itu.

Sehingga kini, beliau pernah dianugerahkan lima kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 1998, 2000, 2005, 2007, 2015 dan terakhir dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengarah JAIS pada 2016.

Khidmat bakti beliau turut diiktiraf Kerajaan Negeri apabila dianugerahkan Pingat Pekerti Terpilih pada 2001 dan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor pada 2010 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Pengarang :