PBTSELANGOR

MPAJ: Perbaharui lesen perniagaan dengan iCOMM

AMPANG, 30 SEPT: Komuniti perniagaan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digalakkan memperbaharui lesen perniagaan bagi tahun 2020 secara dalam talian melalui sistem iCOMM.

Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, kegagalan memperbaharui lesen perniagaan selepas 31 Disember 2019 akan dikenakan kompaun lewat perbaharui lesen.

Katanya, sistem iCOMM yang seiring hasrat Smart Selangor sudah dilaksanakan sejak 2018 dan mesin elektronik turut disediakan jika ingin memperbaharui lesen di bangunan MPAJ.

“Pemegang lesen dikehendaki membuat pembaharuan secara dalam talian kerana kaunter pembaharuan lesen perniagaan tidak menerima wang tunai.

“Kadar kompaun RM200 akan dikenakan bagi kelewatan untuk tempoh Januari sehingga Mac 2020, manakala bagi April sehingga Disember 2020 pula sebanyak RM700,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Ampang Jaya Bil 9/2019 di Bilik Mesyuarat Bunga Tanjung, Ibu Pejabat MPAJ, di sini.

Abd Hamid berkata, pembaharuan lesen perniagaan dan papan iklan hendaklah dibuat tiga bulan sebelum tamat tempoh, iaitu bermula Oktober sehingga Disember ini.

Sebanyak 14 kaunter pembaharuan merangkumi sembilan pusat-beli belah dan lima tempat letak kereta disediakan dengan waktu operasi 10 pagi hingga 4 petang sepanjang hari bekerja termasuk Sabtu minggu pertama dan ketiga.

Pembaharuan lesen perniagaan secara dalam talian boleh dibuat melalui www.icomm.mpaj.gov.my atau hubungi talian 03-4285 7344 atau 03-4285 7324 untuk penjelasan lanjut.

Berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) 6, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007 memperuntukkan tempoh sah sesuatu lesen perniagaan adalah sehingga 31 Disember tahun semasa.

Pembaharuan lesen selepas tamat tempoh boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000 dan penalti RM2,000 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen selaras peruntukan UUK 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPAJ) 2007.


Pengarang :