Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya menyantuni peserta selepas merasmikan Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Selangor 2019 berlangsung di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONAL

MPIPANS 2019 : 40 kumpulan berentap rebut gelaran juara

SHAH ALAM, 11 SEPT: Sebanyak 40 kumpulan berentap bagi membolot gelaran juara dalam empat kategori ditawarkan pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor (MPIPANS) 2019, mulai 10 hingga 12 September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, program tahunan itu sebagai pendekatan mendorong penjawat awam di Selangor untuk memperkenalkan cara kerja baharu yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, MPIPANS 2019 juga menjadi medan kepada semua jabatan dan agensi terlibat untuk mempersembahkan hasil cetusan idea yang kreatif serta inovatif seterusnya menghasilkan sesuatu berimpak tinggi.

“Antara kategori dipertandingkan ialah Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penciptaan); Inovasi Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan); Inovasi Sosial (Penciptaan) dan Inovasi Sosial (Penambahbaikan).

“Konvensyen pada kali ini turut menawarkan beberapa anugerah khas untuk kumpulan iaitu Projek Inovasi Primer Terbaik, Projek Inovasi Hibrid Terbaik, Dokumentasi Projek Terbaik dan Persembahan Terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian MPIPANS 2019, di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Dato’ Nor Azmie Diron dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor.

Pada masa sama, Mohd Amin berkata, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sedang dalam perancangan untuk menganjurkan konvensyen peringkat kebangsaan pada tahun hadapan.

Justeru katanya, projek inovasi yang dipertandingkan menerusi MPIPANS 2019 akan mewakili Selangor untuk bersaing dengan negeri lain sekiranya perancangan konvensyen itu dapat direalisasikan.

“Saya berharap supaya semua kumpulan berjuang dengan sehabis baik dengan meyakinkan panel penilai dan penonton terhadap manfaat serta kehebatan projek masing-masing.

“Ketua jabatan perlu membuat penanda aras bagi projek inovasi yang bermanfaat untuk diaplikasi di jabatan masing-masing, sekali gus dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

“Bagi projek inovasi yang dihasilkan, kita perlu sentiasa menyokong supaya ianya dapat dilaksanakan secara berterusan sehingga mampu dipasarkan dan disebarluas kepada organisasi lain untuk manfaat bersama,” katanya.

MPIPANS 2019 bakal diadili tiga panel penilai profesional dari Seksyen Delivery Management Office (DMO) Bahagian Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP); Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia.


Pengarang :