PBTSELANGOR

MPK lupus barang sitaan bernilai RM74,000

KLANG, 17 SEPT: Pelbagai barang rampasan dianggar bernilai RM74,000 dilupuskan Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini hari ini.

Program Pelupusan Barang-Barang Sitaan itu disempurnakan Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin di stor Jabatan Perkhidmatan Persekitaran.

Mohamad Yasid berkata, pelupusan membabitkan 42,844 unit barang sitaan itu hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan MPK bermula November 2018 hingga Julai 2019.

“Sejumlah 1,798 botol arak, 2,634 keping DVD/VCD dan 38,412 unit iklan tanpa permit dilupuskan ekoran pelanggaran undang-undang yang diguna pakai oleh MPK,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Antara pelanggaran undang-undang itu adalah penyitaan arak di bawah UUK 3 (1) Pelesenan Establisymen Makanan (MPK) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Manakala, penyitaan DVD/VCD pula di bawah UUK 3 Penjaja (MPK) 2007 kerana menjalankan aktiviti menjaja tanpa lesen dan penyitaan iklan di bawah UUK 7 Iklan (MPK) kerana mempamerkan iklan tanpa permit.

Beliau berkata, tindakan pelupusan itu dijalankan mengikut kaedah pelupusan berdasarkan justifikasi dan klasifikasi barang sitaan mengikut prosedur ditetapkan di bawah ISO 9001:2015.

“MPK terus komited dalam memastikan warga Klang mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan melalui pelaksanaan tindakan penguatkuasaan tegas dan efektif,” katanya.


Pengarang :