Ng Sze Han, bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Yasid Bidin menaiki Bas Smart Selangor Laluan KLG 3A baharu selepas selesai majlis perasmian bas itu di Dewan Hamzah, Klang pada 10 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

MPK tambah dua laluan Bas Smart Selangor

KLANG, 10 SEPT: Penduduk sekitar Klang terus menikmati perkhidmatan Bas Smart Selangor susulan penambahan dua lagi laluan baharu di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK).

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu, Ng Sze Han berkata, perkhidmatan percuma itu akan beroperasi dengan enam buah bas membabitkan laluan di kawasan Klang Utara.

“Ia sekali gus menjadikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini memiliki empat laluan perkhidmatan awam percuma dengan keseluruhan 14 buah bas.

Ng Sze Han bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Yasid Bidin memotong riben sebagai simbolik perasmian pelancaran Bas Smart Selangor Laluan KLG 3A di Dewan Hamzah, Klang pada 10 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita memperuntukkan kira-kira RM1.2 juta kos setahun bagi pembiayaan perkhidmatan Bas Smart Selangor membabitkan kos RM800 sehari,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas melakukan gimik pelancaran Bas Smart Selangor Laluan KLG3 & KLG4, di Dewan Hamzah, MPK, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Pemangku Setiausaha MPK, Mohd Khairi Md Yusof dan barisan Ahli Dewan Negeri.

Laluan baharu KLG 3A sepanjang 22.8 kilometer (km) bermula dari Jalan Sri Sarawak hingga ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil (T) Simpang Lima, manakala KLG 3B sepanjang 14.8km dari Lebuh Kebun Nenas 1 hingga ke Jalan Kebun.

Sementara itu, laluan KLG 4 adalah sepanjang 23.6km bermula dari Persiaran Klang Sentral hingga ke Pusat Perniagaan Klang Sentral

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, perkhidmatan itu memberi nilai tambah terhadap jaringan pengangkutan awam sedia ada di Klang yang menghubungkan bas dengan mod pengangkutan lain seperti komuter dan bas-bas komersil.

Katanya, perkhidmatan terbabit akan turut dihubungkan dengan jaringan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 yang dijangka siap tidak lama lagi dan melalui sebahagian besar pusat bandar Klang.

“Masyarakat setempat perlu mengambil peluang ini sebagai sokongan ke atas perancangan Kerajaan Negeri mencapai sasaran 60:40 untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian menjelang tahun 2035.

“Konsep pemilihan laluan berdasarkan kriteria tertentu dengan mengambil kira faktor seperti lokasi tumpuan awam, kawasan penduduk berkepadatan tinggi serta berhampiran lokasi institusi selain kemudahan awam contohnya kawasan sekolah dan hospital,” katanya.

MPK antara salah satu PBT terawal melaksanakan perkhidmatan Bas Smart Selangor selain Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Subang Jaya pada 1 Julai 2015.


Pengarang :