PBTSELANGOR

MPSJ anjur Pertandingan Formasi Wajadiri Warisan Malaysia

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menganjurkan Pertandingan Formasi Wajadiri Warisan Malaysia pada 6 Oktober ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pertandingan yang berlangsung di Stadium MPSJ Serdang Jaya bermula jam 9 pagi sehingga 7 malam itu bakal mempamerkan keindaham seni pertahankan diri dari pelbagai kaum di Malaysia.

“Setiap kaum mempunyai keistimewaan di dalam aspek kebudayaan, kesenian, makanan dan juga kesenian pertahanan diri.

“Para peserta akan didedahkan kepada semangat setia kawan dan memupuk nilai kepimpinan yang bakal diterapkan untuk masa hadapan.

“Peserta juga dapat memahami warisan dan kesenian pertahanan diri yang mempunyai pengertian mendalam mengenai perjuangan tahap kekuatan fizikal, fleksibiliti koordinasi malah dapat meningkatkan keyakinan diri dalam menempuh cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya Bilangan 9/2019 di Bilik Mesyuarat Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ.

Pertandingan Formasi Wajadiri ini terdiri daripada kategori Silat Gayung Terbuka, Wushu Terbuka dan Silambam Terbuka.

Selain itu, majlis perasmian bakal diserikan dengan persembahan kebudayaan kaum Melayu, Cina dan India; persembahan seni pertahanan diri tiga bangsa serta permainan dan makanan warisan tradisional.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ di talian 03-5621 0060.


Pengarang :