Noraini Roslan (tengah) bersama ADN Serdang Ean Yong Wah (kiri) dan Pengarah Jabatan Perbendaharaan MPSJ Mohd Fadzil Mahat (kanan) ketika Dialog Bajet MPSJ 2020 di Kompleks 3K MPSJ, Seri Kembangan, pada 21 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPSJ libat komuniti rangka belanjawan 2020

SERDANG, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melibatkan komuniti setempat dalam merangka Belanjawan 2020 bertujuan memantapkan prestasi ekonomi serta meningkatkan kecekapan pentadbiran organisasi.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pendekatan itu juga selaras dengan dasar inklusif MPSJ yang mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.

Noraini Roslan memberi ucapan aluan ketika Dialog Bajet MPSJ 2020 di Kompleks 3K MPSJ, Seri Kembangan, pada 21 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Fokus MPSJ pada tahun hadapan adalah menjadikan MPSJ sebagai sebuah bandar raya mampan berlandaskan kepada Pelan Tindakan Bandar Mampan.

“Antara pelan berkenaan ialah Pelan Tindakan Bandar Hijau, Bandar Selamat, Bandar Pintar, Bandar Sejahtera, Bandar Sihat dan Bandar Mesra Wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Dialog Bajet 2020 MPSJ di Kompleks 3K, Taman Serdang Raya di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Pengarah Jabatan Perbendaharaan MPSJ, Mohd Fadzil Mahat.

Turut sama kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada ahli majlis, ahli jawatankuasa penduduk MPSJ, wakil pemaju, perbankan serta penduduk.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pada 2020 MPSJ bercadang mengadakan belanjawan berimbang iaitu anggaran hasil adalah sama dengan anggaran perbelanjaan.

Justeru, belanjawan 2020 digubal dengan mengambil kira keperluan MPSJ berdasarkan kepada Sistem Belanjawan Yang Diubahsuai ‘Modified Budgeting System’.

Ahli majlis dan penduduk turut hadir ke Dialog Bajet MPSJ 2020 di Kompleks 3K MPSJ, Seri Kembangan, pada 21 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Walaubagaimanapun, segala perbelanjaan yang dirancang adalah masih tertakluk kepada sumber hasil yang akan diperoleh pada 2020.

“Sebagai makluman, MPSJ telah memperuntukkan RM 5.4 Juta untuk penduduk menentukan projek atau program yang ingin dilaksanakan di kawasan MPSJ pada tahun depan mengikut keutamaan.

“Kesemua cadangan yang diterima daripada peserta semasa sesi dialog bajet ini nanti akan dibawa di dalam Mesyuarat Khas Bajet yang akan dihadiri oleh kesemua ahli majlis untuk dipertimbangkan bagi tujuan kesesuaian pelaksanaannya,” katanya.


Pengarang :