PBTSELANGOR

MPSJ sumbang RM72,000 bantu 360 penerima kurang berkemampuan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerahkan RM72,000 kepada 360 penerima kurang berkemampuan pada Majlis Penyampaian Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB) MPSJ 2019, semalam.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, daripada jumlah itu seramai 15 penerima bagi setiap 24 Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPSJ dipilih untuk menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang.

Katanya, ia selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 Di Bawah Teras 5 iaitu Pembentukan Masyarakat Madani MPSJ yang mengambil inisiatif membantu mengatasi cabaran peningkatan kos sara hidup serta menangani masalah kemiskinan bandar terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Program ini adalah usaha murni MPSJ bagi membantu golongan kurang berkemampuan selaras dengan Konsep Kemasyarakatan Setempat dengan memastikan pengagihan bantuan secara terus kepada penerima bantuan yang benar-benar layak.

“Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan sesama kaum dan agama melalui program dilaksanakan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian PKMB MPSJ 2019 di Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 di sini.

Pada masa sama, Noraini berkata, selain PKMB, MPSJ juga memperuntukan RM200,000 sepanjang tahun ini bagi melaksanakan program bantuan seperti “Back To School”, Jalinan Kasih “Home Help Services”, Karnival Usahawan, Lawatan Usahawan Industri Kecil Sederhana PKMB dan Kelas Kraftangan PKMB.

“MPSJ bukan sekadar memberi sumbangan sebaliknya turut menyediakan ruangan barangan seperti keperluan barangan asas, pakaian dan makanan untuk diambil secara percuma.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama sepenuhnya daripada pihak Eco Free Market sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya.

Katanya, MPSJ turut memberi peluang kepada peserta PKMB membuka gerai pameran bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dengan mengikuti kelas kemahiran antaranya Kelas Jahitan dan Kraftangan, Kelas Kulinari dan Tanaman Hidroponik dilaksanakan setiap minggu di JKP masing-masing.

“Dengan pelaksanaan program ini, MPSJ mengalu-alukan orang ramai untuk menyampaikan sumbangan melalui Tabung Amal MPSJ sebagai salah satu platform untuk membantu golongan memerlukan dan meringankan beban masyarakat sekeliling supaya tidak terus dipinggirkan dalam mengejar arus kemodenan,” katanya.


Pengarang :