Selangorkini
Sebanyak 218,000 jawatan kosong di sektor swasta.belum diisi pada suku kedua tahun ini.
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MTUC gesa pekerja swasta diberi elaun bulanan RM500

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan RM500 atau lebih kepada pekerja swasta menerusi Belanjawan 2020 selain meningkatkan had umur bersara mandatori kepada 65 tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, MTUC berkata, cadangan Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Oktober itu juga perlu merangkumi program-program mesra rakyat yang dapat meningkatkan tahap ekonomi mereka yang terpinggir.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, cadangan pemberian COLA itu adalah antara saranan yang dikemukakan oleh MTUC kepada kerajaan pada 26 Ogos lalu untuk dipertimbangkan dalam penggubalan belanjawan tersebut.

Malah, katanya, pemberian COLA itu juga tidak boleh ditangguhkan lagi berikutan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.

Ia juga sejajar hasil kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini yang mendapati Malaysia menggunakan kaedah lapuk menetapkan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang juga antara faktor utama digunakan oleh kerajaan bagi penetapan kadar gaji minimum pekerja.

“Kerajaan harus menerima hakikat bahawa rakyat kelas pertengahan dan berpendapatan rendah tidak lagi berupaya menyara diri dan hidup dalam serba kekurangan

“MTUC bukannya mendesak kenaikan gaji bersih tetapi mahukan pendapatan yang dapat menampung kos sara hidup pekerja. Kajian PBB menunjukkan kadar kemiskinan sebenarnya adalah antara 15 peratus sehingga 20 peratus dan ini berkait secara langsung dengan upah rendah pekerja,” katanya.

Solomon berkata, majikan juga tiada alasan untuk menangguhkan pemberian COLA untuk pekerja memandangkan mereka “bertahun-tahun memperkayakan (syarikat) hasil pelaksanaan PLI yang tidak betul sehingga menyebabkan pengagihan pendapatan yang amat tidak seimbang.”

Selain itu, Solomon berkata, had umur persaraan juga harus dinaikkan kerana gaji rendah itu menyebabkan pekerja tidak memiliki simpanan mencukupi untuk menampung usia persaraan panjang dengan mengambil kira purata jangka hayat rakyat negara ini yang dijangka meningkat kepada 80 tahun.

Ia juga bagi memastikan pekerja memiliki simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi dan mengelak mereka terlalu bergantung kepada ahli keluarga, masyarakat dan kerajaan bagi tujuan sara diri.

– BERNAMA


Pengarang :