AGENSISELANGOR

Muhibah, rasa selamat antara kaum asas kesatuan rakyat

SHAH ALAM, 16 SEPT : Muhibah dan rasa selamat antara kaum menjadi rangka utama ke arah kesatuan rakyat, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sempena perutusan Hari Malaysia ke 56, hari ini.

Beliau berkata, ketenteraman dan kesatuan inilah yang menjadi dasar Malaysia sejak perjuangan meraih Kemerdekaan serta menjadi asas Wawasan 2020 yang digariskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ibnul Qayyim Al-Jauziyah pernah menyebut syariah adalah kebijaksanaan dan kemaslahatan, seluruhnya adil, rahmah dan bijaksana.

“Itulah Islam yang saya kenal, itulah Islam yang selama ini kita amalkan iaitu muhibah dan damai tanpa ada rasa takut-takut yang tak berasas atau risau yang melulu pada agama dan kaum lain.

“Marilah kita sama-sama menjadi patriot dengan mengekalkan keharmonian dan kesatuan yang ada dengan meletakkan negara sebagai yang paling utama melebihi kepentingan-kepentingan lain,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, setiap individu sejak kecil mempunyai cita-cita sama ada mahu menjadi angkasawan, saintis ataupun ulama tersohor.

“Bangsa Malaysia ini mempunyai cita-cita besar apabila kita bersetuju untuk bersekutu pada tahun 1963.

“Daripada Perlis hingga ke Sabah, setiap anak merdeka mengimpikan kehidupan yang lebih baik untuk semua iaitu satu wawasan kemakmuran bersama,” katanya.


Pengarang :