AGENDANASIONAL

Mujahid: Serbu kumpulan Syiah ikut SOP

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap kumpulan pengikut Syiah di Selangor, baru-baru ini mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Kita sudah pun mendapat maklum balas daripada Dato’ Menteri Besar (Amirudin Shari) dalam mesyuarat MKI (Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia) kelmarin (11 September).

“Serbuan yang dilakukan di Selangor adalah bidang kuasa Selangor dan mengikut SOP, maka kita hormati tindakan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Amiruddin turut dilaporkan berkata, serbuan dilakukan oleh JAIS terhadap kumpulan tersebut di Gombak adalah mengikut SOP JAIS.

– BERNAMA


Pengarang :