Michelle bergambar bersama anggota polis Subang Jaya, semasa mengadakan lawatan ke pondok bit polis SS15 pada 3 September 2019.
ADNSELANGOR

Naik taraf pondok bit polis SS15 untuk keselesaan anggota

SUBANG JAYA, 3 SEPT: Pejabat Ahli Dewan Negeri Subang Jaya membelanjakan sebanyak RM19,995 untuk kerja-kerja naik taraf pondok bit polis SS15 di sini demi keselesaan anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan awam di kawasan pusat komersial itu.

Ahli Dewan Negerinya, Michelle Ng Sze berkata, selain memberi keselesaan kepada anggota bertugas, usaha naik taraf pondok tersebut itu juga penting untuk memberi imej ‘selamat’ kepada pengunjung khususnya.

“Kewujudan pondok polis bit ini sangat penting kerana SS15 ialah kawasan komersial yang menjadi tumpuan orang ramai. Oleh sebab itu, sangat penting untuk kita mencegah jenayah di lokasi panas sebegini.

“Selain itu saya juga berharap supaya anggota polis lebih selesa walaupun penat membuat rondaan,” katanya ketika ditemui SelangorKini semasa mengadakan lawatan ke pondok bit polis SS15, hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Deputi Superintendan Tan Nam Seng dan Timbalan Ketua Polis Balai Subang Jaya, Sub Inspektor Roslin Salleh.

Sementara itu, seorang penduduk, Michael Sundram, yang mendiami kawasan berkenaan sejak 38 tahun lalu berkata, sebelum ini rata-rata penduduk berasa kurang selamat walaupun hanya berkunjung ke pasar berhampiran.

“Apabila adanya pondok polis ini, kami lihat anggota polis lebih selesa dan paling penting ialah mereka boleh membuat rondaan lebih kerap.

“Terima kasih kepada ADN yang prihatin dengan keselamatan penduduk di sini,” katanya.

Nam Seng berkata, pondok bit polis itu menjadi tempat berkumpul setelah anggotanya membuat tinjauan di kawasan sekitar.

“Kewujudan pondok dan anggota polis juga dapat meyakinkan penduduk bahawa mereka akan lebih selamat apabila keluar beli-belah. Sehubungan itu, kami amat menggalakkan orang awam untuk membuat aduan di pondok ini jika ada anggota bertugas,” katanya.


Pengarang :