Foto BERNAMA (2019)
AGENDANASIONAL

Najib sakit mata, perbicaraan 1MDB ditangguh

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menangguhkan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berkaitan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguh kerana bekas perdana menteri itu mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan atas alasan perubatan dan juga kerana ia tidak dibantah oleh pasukan pendakwaan.

“Yang Arif sekitar pukul 7.15 pagi ini , saya menerima panggilan daripada pelanggan saya dan juga daripada isterinya, memaklumkan saya bahawa beliau disyaki mempunyai konjunktivitis di matanya akibat jerebu …beliau keluar malam semalam.

“Pada masa ini, beliau masih berada di rumah. Pelanggan saya telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau hanya dapat berjumpa pakar di Garden Mall pada jam 10.30 pagi. Jadi, kemudian saya akan menyerahkan salinan chit perubatan, saya menjangka sekurang-kurangnya hari ini atau esok beliau akan bercuti sakit, “katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram tidak membantah permohonan itu dan berkata mereka akan menunggu laporan perubatan tersebut.

Hakim Sequerah menetapkan jika tertuduh mendapatkan cuti sakit hanya satu hari, prosiding itu akan disambung semula esok.

“Jika cuti sakit diberikan selama dua hari, pendengaran kes akan disambung semula Selasa depan,” katanya.

Ini adalah kali kedua perbicaraan Najib ditangguhkan kerana bekas perdana menteri mendapat jangkitan konjunktivitis pada matanya.

Kali pertama pada 14 Ogos lalu sewaktu pendengaran kes SRC International yang ditangguhkan selepas Najib diberi cuti sakit selama tiga hari kerana jangkitan virus itu.

Hari ini pasukan pembelaan dijangka meneruskan pemeriksaan balas bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, yang merupakan saksi pendakwaan kelapan.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh melakukan empat kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014, dan untuk 21 lagi pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.

– BERNAMA


Pengarang :