AGENDANASIONAL

Niaga hadapan emas didagang lebih tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif mungkin didagangkan lebih tinggi pada minggu hadapan berikutan jangkaan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih lemah, menurut seorang peniaga.

“Urus niaga emas akan berjalan secara berhati-hati dengan kecenderungan untuk naik pada minggu hadapan menjelang pengumuman keputusan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat.

“Pasaran juga sedang menunggu data jualan runcit AS yang akan diumumkan kemudian bagi mengukur kekuatan ekonomi,” kata pengedar Phillip Futures Sdn Bhd, Lee Pei Wan kepada Bernama.

Pasaran menjangkakan bank pusat AS akan mengurangkan kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas semasa mesyuarat yang dijadualkan berlaku pada 17-18 September depan, di tengah-tengah inflasi yang rendah dan risiko yang berkaitan dengan perdagangan.

Dari Jumaat ke Jumaat, bulan semerta September 2019 jatuh 132 mata kepada RM200.70 segram, Oktober 2019 turun 106 mata kepada RM 202.70 segram, November 2019 menguncup 86 mata kepada RM203.10 segram, manakala Disember 2019 hilang 90 mata kepada RM203.20 segram.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 23 lot bernilai RM122,010 daripada tiga lot sebanyak RM61,940 yang direkodkan pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 133 kontrak berbanding 114 kontrak sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :