Ng Sze Han (tengah) bersama Ng Sue Lim (empat, kanan) menyerahkan Notis 5A kepada penduduk ketika Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) di Bagan Sekinchan pada 20 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Notis 5A: Impian 123 penduduk terlaksana selepas 50 tahun

SEKINCHAN, 20 SEPT: Impian 123 penduduk Bagan untuk memiliki hak milik tanah sejak 50 tahun lalu akhirnya terlaksana apabila menerima notis 5A daripada Kerajaan Negeri, hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pemberian itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap semua kaum di negeri ini.

Katanya, pemberimilikan itu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bermula tujuh tahun lalu.

“Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat khususnya membabitkan isu tanah yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Banyak masalah boleh diselesaikan tetapi tiada tindakan penyelesaian, oleh itu Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil inisiatif membantu selesaikan isu rakyat di lapangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) Bagan Sekinchan di Gelanggang Bola Keranjang MPKK, Bagan Sekinchan, di sini.

Ng Sze Han (tengah) bersama Ng Sue Lim (enam, kanan) bersama penerima Notis 5A ketika Majlis Penyerahan Kelulusan Pemberimilikan Tanah (Notis 5A) di Bagan Sekinchan pada 20 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Notis 5A itu diserahkan oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han mewakili Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Suee Lim berkata, pemberian fasa kedua itu menyelesaikan 95 peratus isu pemilikan tanah di daerah itu.

“Tanah yang diberikan adalah rizab Melayu, oleh itu kita gantikannya dengan tanah yang lain di Sungai Panjang berkeluasan kira-kira tiga hektar.

“Ini cara PAKATAN membantu rakyat. Kita maju bersama tanpa meminggirkan mana-mana pihak di samping hak milik kaum Melayu terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Hing Ger Heng, 43 dan adiknya, Hing Gek Yoke, 41 menzahirkan rasa terujanya atas bantuan Kerajaan Negeri itu.

“Kami sangat gembira kerana akhirnya diberikan hak milik tanah. Sudah pasti ibu kami yang berusia 70 tahun juga gembira.

“Inilah kampung kami, kami dilahirkan dan membesar di sini bersama keluarga yang lain, penantian kami selama ini tercapai,” katanya.


Pengarang :