BUDAYARENCANA

Pagi paling ironis tahun Ini

Oleh Za’im Yusoff

 Pagi itu, ketika bersepeda ke pejabat, saya menemukan sebuah lori di hadapan. Pemanduan saya terganggu bukan hanya dek bau tengiknya, malah sisa sampah yang dimuati berterbangan. Saya segera memintasnya sambil melempar cebikan kepada pemandu lori.

Tiba-tiba cebikan saya bertukar kaget saat mendapati lori itu dari “Syarikat Pembersihan Selalu”. Lori pembersihan vs sampah berterbangan. Termaktublah, pagi itu “pagi paling ironis tahun ini”.

Ironi itu sebetulnya dari kata “eironeia” bermaksud hipokrasi juga penipuan dalam Greek. Meskipun Kamus Kesusasteraan menakrifkan ironi sebagai alat retorika untuk menyampaikan maksud berlawanan dengan apa yang diujarkan, saya lebih mengerti ironi melalui peribahasa pukul anak sindir menantu.

Bukankah ibu mentua dalam ungkapan itu juga berironi? Lagi-lagi apabila si ibu meleteri anak lelakinya sendiri. Seperti, “Anwar, lain kali selagi matahari belum tinggi, jangan kau bangun!”. Maksud sindiran ironis ibunya ternyata bukan untuk anak lelakinya tetapi teguran buat menantu perempuannya yang kelewatan menyiapkan sarapan.

Jika kita tonton dengan teliti, filem Parasite (2019) arahan pengarah Korea Selatan, Bong Joon-ho juga mengoptimumkan ironi dalam menyampaikan pesannya. Ya, salin tak tumpah seperti peribahasa tadi. Khususnya dari sudut bagaimana bermanfaatnya ironi dalam menyampaikan pesan dengan lebih berkesan berbanding teguran langsung yang kesannya selalu kurang.

Bagi saya, pesan kesenimanan Bong tentang jurang sosio-ekonomi yang disungguhkan dalam Parasite tidak jauh beza dengan filem-filemnya terdahulu terutamanya Snowpiercer (2013). Bezanya dengan Snowpiercer adalah isu jurang sosio-ekonomi dalam Parasite dikecilkan latarnya, naratifnya lebih intim dan lebih mudah dikaitkan dengan kehidupan di luar panggung. Paling penting, naratif ironi Parasite jauh lebih bernas dan kemas.

Melalui metafora ironis terutamanya simbol parasit dan bau (bahkan banyak simbol lain lagi seperti batu, buah pic, pizza, sos cili), Bong dengan geliganya bercerita tentang kisah dua keluarga yang seolah-olah dicerminkan. Empat ahli keluarga miskin Kim bersifat parasit vs empat ahli keluarga kaya Mr Park bersifat perumah.

Awalnya, anak lelaki Kim, Ki-woo muncul sebagai pengganti tutor bahasa Inggeris anak perempuan Mr Park. Bagi mengubah kehidupan miskin keluarganya, Ki-woo melihat peluang terbentang untuk keluarganya menyelinap masuk ke dalam keluarga kaya itu. Lalu, Ki-woo mencadangkan kakaknya, Jessica menjadi tutor seni kepada anak lelaki Mr Park.

Ibarat diberi betis hendakkan peha, Jessica pula mengesyorkan ayahnya, Kim menjadi pemandu baru Mr Park. Setelah itu, Kim pula mengesyorkan isterinya menggantikan pembantu rumah yang difitnahnya berpenyakit tibi.

Saya melihat keparasitan keluarga Kim ini cerminan ironi terhadap kepercayaan naif golongan kaya yang begitu beriman pada job recommendation. Bagi golongan kaya, recommendation dalam apa jua hal sudah dikalungkan sebagai seutas rantai terpercaya di leher hayat mereka.

Ironinya dalam Parasite, rantai terpercaya itu bertukar menjadi rantai terpedaya. Sebagai perumah, keluarga kaya Mr Park melihat ahli-ahli keluarga Kim sebagai sebaik-baik simbion. Sebagai penonton pula, ironinya kita tahu selicik-licik parasit itu ternyata keluarga miskin Kim.

Naratif ironis melalui metafora parasit tidak terhenti di situ. Jika parasit seperti cacing bulu kuda masuk ke dalam jasad mentadak kemudian mengawal saraf tunjangnya sehingga mentadak itu mati, ironinya dalam Parasite, hal ini tidak berlaku.

Sebaliknya, keluarga parasit Kim yang sepatutnya menjadi pemangsa dinasibkan sebagai mangsa. Di dalam rumah agam Mr Park, mereka terperangkap dalam konflik keseliratan sosial yang mengheret mereka sehingga tragedi ngeri di klimaks. Keterperangkapan keluarga miskin Kim ini bagi saya adalah wacana Bong tentang sadisnya kitaran kejam kemiskinan di seluruh dunia, tidak terhad di Seoul semata-mata.

Selain metafora parasit, Bong dilihat konsisten menggunakan metafora bau tengik orang miskin sejak dari adegan eksposisi. Babak pertama memaparkan stokin tergantung di jendela rumah semi-basement keluarga Kim. Bukan sekadar bau tengik kerana kepengapan rumah, bau hancing pering juga menghurungi lantaran kedudukan rumah mereka di hujung lorong – tempat para pemabuk kencing.

Melalui metafora bau juga, konflik mula digerakkan dalam Parasite. Anak kecil Mr Park terhidu bau mirip antara tutor seninya, pemandu ayahnya dengan pembantu rumah. Tambah ruwet, Mr Park sendiri mengadu bau badan pemandunya itu seperti bau penghuni bawah tanah.

Sejak itu, keluarga Kim berusaha membersihkan bau tengik mereka dengan pewangi badan dan detergen kain. Akhirnya, Jessica mendedahkan bau itu bau orang miskin yang tinggal di rumah semi-basement. Hanya dengan berpindah, barulah bau tengik itu hilang.

Ironinya, bau tengik itu bukannya makin melenyap, bahkan makin meresap sehingga dicam oleh keluarga Park. Bau tengik yang tidak hilang sepertinya menyifatkan betapa sukarnya orang miskin untuk keluar dari kitaran kejam kemiskinan.

Bau tengik itulah mengheret naratif Parasite ke klimaks hinggakan bau segar petrichor selepas hujan pun tidak mampu mencuci ketengikan bau keluarga miskin Kim. Dengan beban rumah Kim kebanjiran semalaman, dengan bahasa badan Mrs Park yang jelek dengan bau tengik Kim, dengan ego Mr Park mahu Kim bekerja pada hari minggu – semua ini menghempapkan bebanan emosi ke atas Kim. Natijahnya, saat Kim menjelma sebagai pelaksana tragedi Parasite, kita semua terpelahang.

Usai tragedi klimaks menuju perleraian, Parasite bukan sekadar berjaya melayarkan Korean Dreams kaum marhaen di Korea Selatan malah ironinya, filem ini berhasil menyergapkan rasa bersalah juga sayu. Saya berasa cukup bersalah kerana telah ketawa terbahak-bahak sewaktu naratif komedi Parasite di awal dan tengah. Sedangkan, keluarga miskin Kim benar-benar digasak kitaran kejam kemiskinan sehingga mereka bertindak sedemikian.

Meskipun naratif Parasite sudah berfasakan peleraian, Bong tetap tegar memacu ironi sebagai kuda retorikanya ketika bercerita. Kim sebelum ini pernah memberitahu anaknya, Ki-Woo “Rancangan terbaik adalah tidak merancang”. Ironinya, untuk mengubah nasib keluarga Kim pasca tragedi, Ki-woo tetap merancang sesuatu.

Bong sebenarnya menembungkan dua sudut pandang dari dua generasi. Yang berumur sudah hampir putus harapan. Tetapi generasi baru tetap mahu mengikhtiarkan sesuatu bagi mengubah keadaan. Jika generasi miskin terdahulu hanya mampu memiliki rumah semi-basement, kini tibalah masanya generasi mudanya berani “keluar dari bawah tanah” untuk benar-benar memiliki “tanah di atas”.

Tinggal lagi, saya khuatir cuma satu. Setelah Parasite dimahkotakan dengan anugerah tertinggi Festival Filem Cannes yang berprestij, setelah saya bersama ratusan penulis esei sedunia meraikan Parasite, bukankah kita sendiri menjadi ironi jika kita tidak langsung berikhtiar dengan sekecil apapun langkah untuk mengalahkan kemiskinan?

Dengan sebab itu, pada “pagi paling ironis tahun ini”, saya membatalkan niat melaporkan perihal bau tengik lori kepada syarikatnya. Saya khuatir kalau-kalau pemandu lori dengan gaji kecil dipecat saat ekonomi negara kian gawat. Itu langkah pertama saya melawan kemiskinan di luar panggung.

Langkah anda pula, bagaimana?


Pengarang :