AGENDANASIONAL

Pakai penutup hidung, mulut ketika cuaca berjerebu – KKM

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar memakai penutup hidung dan mulut ekoran kejadian jerebu yang semakin buruk melanda negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang awam juga dinasihat supaya tidak melakukan aktiviti di luar bangunan sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100 yang bermakna kualiti udara tidak sihat.

Katanya, pemakaian penutup hidung dan mulut juga sangat perlu diberi keutamaan kepada kanak-kanak dan mereka yang menghidap penyakit respiratori serta jantung kerana golongan terbabit lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

“Sekiranya terpaksa berada di luar, hadkan hanya kepada aktiviti penting sahaja. Selain ini, pendekkan tempoh berada di luar bangunan serta elak melakukan aktiviti fizikal yang akan meningkatkan kadar pernafasan.

“Jika anda masih perlu melakukan aktiviti di luar, mereka dinasihatkan menggunakan penutup hidung dan mulut.

“Penggunaan penutup hidung dan mulut N95 adalah paling berkesan untuk kegunaan ketika keadaan berhabuk atau berjerebu kerana ia mampu menapis udara yang disedut oleh manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai disaran agar mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/, dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU.

Namun, katanya, penutup hidung dan mulut N95 juga mempunyai beberapa kelemahan iaitu hanya berfungsi dengan baik sekiranya ia dipakai secara sempurna atau “fit”.

“Penutup hidung dan mulut N95 tidak direka untuk kanak-kanak dan pemakaian sempurna adalah sukar bagi mereka yang berjanggut atau berjambang selain mengundang ketidakselesaan.

“Malah, penggunaan penutup hidung dan mulut tiga lapis pula bertujuan menghalang kuman yang boleh merebak melalui pernafasan, tetapi ia tidak sekedap respirator N95,” katanya.

Bagi mereka yang mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru, individu berkenaan disaran untuk pergi ke klinik bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Orang ramai boleh membuat rujukan mengenai masalah kesihatan berkaitan jerebu menerusi laman sesawang KKM iaitu http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183.


Pengarang :