Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PAKATAN perlu pertahan kerusi Tanjung Piai

SEREMBAN, 22 SEPT: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan berusaha mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai, Johor dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Sambil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia semalam, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata untuk itu, semua jentera PAKATAN perlulah bekerja keras baik diperingkat pusat mahu pun negeri.

“Kita akan menghadapi PRK Tanjung Piai dan ia menjadi ujian besar kepada kita dalam PAKATAN. Bagi mengenang jasa, budi dan sumbangan Dr Md Farid, kita mesti mengembleng tenaga dan menggerakkan jentera kita untuk memastikan kerusi Tanjung Piai dipertahankan, ” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan di sini yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Pengerusi PAKATAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan pemimpin komponen PAKATAN negeri.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan turut menyifatkan Allahyarham Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu sebagai seorang pemimpin yang berwawasan dan pemergiannya merupakan kehilangan besar buat negara dan PAKATAN.

Terdahulu, semua perwakilan dan pemimpin yang hadir turut bertafakur selama seminit pada awal sesi konvensyen itu bagi memperingkati kematian Md Farid.

Semalam, Md Farid, 42, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai dan juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, meninggal dunia sekitar 6 pagi di Hospital Pontian akibat serangan jantung.

-BERNAMA


Pengarang :