AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Pantau anak elak ketagihan pornografi

SHAH ALAM, 1 SEPT: Pemantauan bijak ibu bapa terhadap penggunaan gajet di kalangan anak-anak boleh mengelak akses pornografi oleh mereka.

Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Masdiana Muhamad berkata, revolusi industri dan teknologi kini adalah cabaran besar kepada semua ibu bapa dalam menangani perkara berkaitan.

Katanya, pornografi boleh mengakibatkan tingkah laku seksual yang buruk dan tidak normal, sekali gus akan cuba beraksi berdasarkan pada apa yang dilihat, berfantasi dan berakhir dengan tingkah laku.

“Ibu bapa yang prihatin terhadap perkembangan sikap dan tingkah laku anak-anak adalah pra-syarat utama dalam pembentukan sahsiah anak yang baik.

“Jika anak-anak dan keluarga kita tidak dibimbing menguasai teknologi maka keluarga kita pula yang akan dikuasai teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Kempen Sekeluarga Tolak Pornografi (STOP) peringkat negeri di sini, semalam.

Masdiana berkata, sekiranya masalah itu tidak diatasi, ia juga boleh membawa kepada kehidupan berumahtangga tidak harmoni, malah boleh mengakibatkan perceraian.

“Bukan sahaja kanak-kanak dan remaja yang berhadapan dengan krisis gejala pornografi ini, hubungan suami isteri akan turut terancam jika tiada pemantauan dan kawalan yang sebaiknya.

“Pendedahan kepada pornografi dalam jangka masa panjang di usia dewasa dan berumahtangga ternyata akan menganggu komitmen sesama pasangan serta menjurus kepada tingkah laku curang juga risiko perceraian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pemimpin komuniti perumahan, persatuan penduduk dan jawatankuasa kebajikan penduduk perlu bergandingan menyahut usaha advokasi bagi melindungi komuniti dari barah ketagihan pornografi.

Katanya, sinergi bersama pelbagai lapisan institusi masyarakat yang prihatin tidak lagi menjadi suatu pilihan, bahkan suatu keperluan bersama.

“Jika satu demi satu keluarga dalam komuniti kita dibiarkan hancur tanpa intervensi kolektif institusi masyarakat, maka sambil bilakah keluarga kita akan selamat?,” soalnya.

Kempen STOP menekankan keperluan kepada pemantauan bijak ibu bapa kepada tahap penggunaan gajet oleh anak-anak, adalah suatu pendekatan yang amat diperlukan.

Untuk rekod, Laporan Tinjauan Pengguna Internet dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2016 mendapati golongan pelajar sekolah adalah tertinggi meluangkan masa dalam talian dengan purata 20.9 jam seminggu dan 75 peratus daripadanya melihat kandungan lucah.


Pengarang :