ADNSELANGOR

Pasang CCTV cekup pembuang sampah haram

SERI KEMBANGAN, 2 SEPT: Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah memperuntukkan RM10,000 bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk menangani masalah pembuangan sampah haram di kawasan industri, di sini.

Katanya, usaha itu dibuat berdasarkan aduan pengusaha industri kecil dan sederhana serta penduduk setempat ekoran lambakan sampah haram di kawasan terbabit, sejak akhir-akhir ini.

“Apabila CCTV ini dipasang lebih awal, mungkin kita akan berjaya mengurangkan, sekali gus mencegah masalah pembuangan sampah secara haram ini.

“Saya berharap supaya individu tidak bertanggungjawab ini akan dapat dicekup segera dan berkemungkinan pada masa akan datang saya akan menambah lagi jumlah CCTV,” katanya.

Hian Wah berkata, kebanyakan sampah yang dibuang adalah hasil sisa domestik dan industri serta dipercayai dilakukan oleh pekerja warga asing berhampiran.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila kenderaan lama turut dibuang di lokasi sama.

“Saya mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Subang Jaya menunda kenderaan buruk serta terbiar ini memandangkan ia juga menghalang laluan orang awam,” katanya.


Pengarang :