Ramli Tahir memberi penerangan berhubung pengurusan sisa pepejal pada Sesi Dialog Bajet 2020, Smart Desa Selangor: Bersih dan Sejahtera, di Hotel Concorde, di sini. Foto REMY ARIFIN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pasang sensor di tong sampah, tahu jika penuh

SHAH ALAM, 4 SEPT: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan berbincang dengan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berhubung pemasangan sensor di tong sampah jenis ‘leach bin’ bagi memberi maklumat jika ia penuh dan perlu dikutip.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, hal itu bagi memastikan tiada longgokan sampah yang akan mencacatkan pemandangan.

“Walaupun kerja kutipan ini mengikut jadual, namun sisa sampah domestik akan tetap banyak hingga menjadi longgokan.

“Oleh itu, kita memerlukan alat untuk mengetahui jika ia penuh dan kita boleh kutip semula walaupun di luar jadual kutipan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Dialog Bajet 2020, Smart Desa Selangor: Bersih dan Sejahtera, di Hotel Concorde, di sini malam tadi.

Katanya, penggunaan motorsikal roda tiga dan lori roro khusus bagi tujuan pungutan sampah juga perlu diperluaskan ke kawasan yang sukar diakses seperti kampung tradisi.

Katanya, penambahbaikan sistem pengurusan sisa pepejal di kawasan berkenaan perlu dilakukan ekoran kepadatan penduduk yang tinggi.

“Sebanyak 34 peratus atau 2.2 juta penduduk tinggal di kampung tradisi, tentunya penjanaan sampah juga banyak di kawasan ini, namun terdapat kesukaran untuk membersihkannya kerana akses yang terhad lebih-lebih lagi di lorong sempit.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan cadangan ini dengan menambah peruntukkan kepada KDEBWM,” katanya.

Pada masa sama, Ramli berkata, pemasangan kamera litar tertutup di kawasan panas pembuangan sampah haram turut diperlukan.

Katanya, inisiatif itu akan dapat meningkatkan pemantauan dan penguat kuasaan Pihak Berkuasa Tempatan.


Pengarang :