AGENDANASIONAL

Pavilion Malaysia raih jualan RM677.8 juta di CAEXPO 2019

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Pavilion Malaysia di Ekspo China-ASEAN Ke-16 (CAEXPO) 2019 di Nanning, China, mencatatkan satu lagi pencapaian dengan jualan meningkat sebanyak enam peratus kepada RM677.80 juta berbanding RM639.66 juta pada tahun lepas.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan hari ini, jumlah jualan yang dijana di acara yang berlangsung selama empat hari bermula 21 September itu, sekali gus mengatasi sasaran jualan sebanyak RM640 juta yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya pada tahun ini, makanan dan minuman memberi impak yang kukuh dengan mengatasi kluster kesihatan dan kesejahteraan apabila mencatatkan jualan sebanyak RM387.20 juta berbanding RM218.91 juta pada tahun lalu.

“Ini diikuti kluster kesihatan dan kesejahteraan sebanyak RM160.68 juta, gaya hidup (RM129.88 juta) dan perkhidmatan (RM0.05 juta),” katanya.

Katanya sebanyak tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM31.71 juta turut ditandatangani antara syarikat Malaysia dan pengimport China yang melibatkan produk durian, penjagaan kesihatan dan barangan bayi.

Hasil jualan positif yang dilaporkan oleh syarikat Malaysia menunjukkan potensi yang tinggi dan penerimaan produk Malaysia dalam pasaran seperti produk berasaskan durian, pes masakan Malaysia, kopi, biskut, barangan bayi dan ubat gigi.

CAEXPO 2019 menyaksikan penyertaan sebanyak 167 syarikat melibatkan 151 perusahaan kecil dan sederhana.

MATRADE turut menganjurkan lebih 1,000 sesi padanan perniagaan di CAEXPO antara syarikat Malaysia dan rakan dari China.

Pavilion Malaysia menerima dua anugerah pengiktirafan daripada penganjur untuk Hasil Dagangan dan Ekonomi Terbaik serta Penganjur Pengunjung Perdagangan Terbaik.

Ekspo itu yang dianjurkan setiap tahun di Nanning sejak 2004, adalah landasan untuk menggalakkan kerjasama antara China dan ASEAN dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

MATRADE mengesahkan CAEXPO Ke-17 akan diadakan pada 18-21 Sept, 2020.

– BERNAMA


Pengarang :