AGENDANASIONAL

PAWE di setiap Parlimen galak warga emas aktif

SERDANG, 23 SEPT: Kerajaan bercadang membina sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara untuk menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan masyarakat Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, sebanyak 88 buah PAWE telah ditubuhkan buat masa ini yang memberi manfaat kepada 36,931 warga emas berdaftar.

”Kerajaan berhasrat menyediakan lebih banyak fasiliti berdasarkan reka bentuk sejagat yang akan memberi manfaat kepada warga emas dan juga lain-lain golongan masyarakat,” katanya ketika merasmikan kompleks Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Menurutnya, unjuran data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia akan mencapai status negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Ketika itu, populasi negara dijangka mencapai 38.1 juta orang yang mana 5.8 juta daripadanya merupakan warga emas, katanya.

Dr Wan Azizah berkata, usaha kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas sewajarnya disokong masyarakat dengan mengubah pandangan terhadap warga emas yang dianggap sebagai beban, kepada warga emas aktif dan produktif.

Warga emas pula perlu berpandangan positif terhadap diri sendiri, mengamalkan gaya hidup sihat dan melibatkan diri dalam aktiviti yang bermakna kepada diri, keluarga dan masyarakat, katanya.

Naib Canselor UPM, Datin Dr Aini Ideris dalam ucapannya berkata, MyAgeing dahulunya dikenali sebagai Institut Gerontologi dan ditubuhkan pada 1 April 2002 sebelum dinaik taraf kepada Institut Penyelidikan Penuaan Kebangsaan pada tahun 2015.

Sejak ditubuhkan, katanya, MyAgeing telah menjalankan pelbagai kajian untuk membina pangkalan data asas mengenai warga emas di Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :