AGENDANASIONAL

PDRM cadang hukuman sebat mandatori seludup hidupan liar

BIDOR, 3 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan hukuman lebih berat seperti sebatan mandatori dikenakan terhadap penjenayah yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini, kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, cadangan itu yang akan dibawa kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang adalah inisiatif PDRM dalam membanteras isu pemburuan haram dan penyeludupan haiwan liar di negara ini.

“Polis turut menggerakkan elemen di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) termasuk cawangan udara dan polis marin melalui Op Bersepadu Khazanah bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara membanteras jenayah hidupan liar di hutan, udara dan laut.

“Operasi yang sebelum ini diselaraskan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti turut dimantapkan membabitkan kepakaran dari Pasukan Elit Senoi Praaq dari Batalion 3 dan Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah KDNKA terdiri daripada suku kaum asli yang amat mahir dan berkeupayaan menjejak musuh di dalam hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Op Bersepadu Khazanah di Batalion 3 PGA Bidor di sini hari ini.

-BERNAMA


Pengarang :