Amirudin Shari turut menyanyikan lagu Jalur Gemilang bersama peserta dan warga kerja selepas selesai menyaksikan pertandingan debat peringkat akhir anjuran Yayasan Selangor di Hotel Gocos, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelajar maahad tahfiz juara debat Yayasan Selangor

KLANG, 16 SEPT: Pelajar Mahaad Tahfiz Negeri Pahang (Kuantan) berjaya menewaskan Sekolah Sultan Alam Shah serta 38 kumpulan lain, sekali gus menjuarai Pertandingan Debat Peringkat Kebangsaan Yayasan Selangor, hari ini.

Ketua kumpulan, Mohammad Ikhwan Mohamad Nafiah, 16, berkata, beliau tidak menjangka kemenangan berpihak kepada kumpulannya gara-gara mereka hanya sempat berlatih dalam tempoh seminggu.

“Namun, saya bangga kerana semua ahli kumpulan memberi komitmen terbaik dan salah satu faktor utama untuk melancarkan perdebatan ialah kita peka dengan isu semasa, tidak kira dalam mahupun luar negara.

“Pada masa sama, pendebat juga tidak boleh berhenti melakukan latihan,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di Hotel Gocos, di sini.

Hadiah disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari serta diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Khodzali.

Mohammad Ikhwan Mohamad Nafiah

Kumpulan yang turut dianggotai Nabilah Batrisya Alias, 15, Nur Izzah Nasuha Zulmuksah, 16 dan Hasya Nur Auni Zahari, 15 itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala iringan dan sijil.

Sebelum ini, kumpulan debat Maahad Tahfiz Negeri Pahang pernah memenangi Pertandingan Debat Sains dan Teknologi Pulau Pinang serta melepasi pusingan akhir Debat Malaya 2019.

Sementara itu, Pengerusi Pertandingan, Zahura Zakry berkata, pertandingan yang dianjurkan sejak 2003 itu semakin mendapat perhatian apabila berjaya menghimpunkan pendebat serta pemidato dari pelbagai sekolah seperti berasrama penuh (SBP), aliran perdana, agama, swasta dan Maktab Rendah Sains Mara.


Pengarang :