Pemandangan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah kabur ekoran jerebu yang melanda negara pada 15 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pelancong kecewa jerebu halang pemandangan di Melaka

MELAKA, 15 SEPT: Jerebu yang melanda Melaka sehingga Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 222 iaitu paras tidak sihat bukan sahaja menyakitkan mata tetapi juga mengecewakan pelancong asing kerana tidak dapat merakamkan pemandangan indah dan bersejarah di negeri ini menerusi lensa kamera mereka.

Mei Xiuying, 29, jurugambar amatur dari Guangzhou, China berkata, beliau sedih kerana rancangannya untuk merakamkan gambar pemandangan Melaka yang indah terhalang kerana jerebu dan telah mencuba beberapa cara tetapi masih agak sukar kerana jerebu menenggelamkan latar belakang gambarnya.

“Saya telah pergi ke tapak bersejarah (di Bandar Hilir) pagi ini untuk mengambil gambar, gambar untuk jarak dekat masih bagus, tetapi saya menghadapi masalah mengambil gambar pemandangan luas dan jauh kerana latar belakang sangat kabur.

“Saya juga cuba mengambil gambar kapal-kapal dan pemandangan di Selat Melaka, juga masjid ini (Masjid Selat) tetapi tidak berhasil kerana jerebu ini. Saya tidak dapat melihat kapal dan bangunan dari sini,” katanya kepada di Masjid Selat, Pulau Melaka, di sini, hari ini.

Laman web Jabatan Alam Sekitar di http://apims.doe.gov.my mencatatkan bacaan IPU yang sangat tidak sihat mencecah 203 untuk Bandar Melaka pada jam 7 pagi, dan pembacaan IPU pada 1 tengah hari bertambah kepada 224.

Daphene Bailey, 72, seorang guru bersara dari Newcastle-upon-Tyne, England berkata, beliau kecewa kerana jerebu membatasi pergerakannya untuk melawat beberapa kawasan tarikan pelancong seperti Bukit St. Paul di Bandar Hilir tetapi menghargai sikap rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kesihatannya.

“Saya telah berada di Malaysia sejak minggu lepas dan ramai rakyat Malaysia yang bertanyakan tentang kesihatan saya berikutan jerebu ini, mereka memberi saya air kosong dalam botol dan ubat sakit tekak.

“Saya terharu dengan layanan ini tetapi sungguhpun saya sudah lanjut usia namun ini bukan halangan untuk saya menikmati pemandangan yang indah di sini.

“Saya berharap jerebu akan berkurangan esok kerana saya tak sabar untuk mendaki bukit ini dan menyaksikan dari dekat gereja St. Paul di puncaknya,” kata Bailey di kaki bukit itu kerana beliau dan suaminya dihalang daripada mendaki bukit itu oleh anak mereka kerana cuaca berjerebu.

Hairul Azihan Othman, 41, seorang pelancong tempatan dari Batu Gajah, Perak berkata, mata beliau dan keluarganya pedih dan berair kerana jerebu ketika melawat tapak bersejarah di Bandar Hilir di sini.

“Pada mulanya kami tidak tahu IPU telah sampai ke tahap yang tidak sihat pada pagi ini jadi kami hanya memakai penutup mulut dan pergi berjalan kaki untuk melawat A ‘Farmosa dan beberapa muzium di sini, tetapi kedua-dua anak-anak saya mengadu mata mereka berasa sakit dan manakala tekak mereka juga terasa gatal.

“Isteri saya segera memberi air kosong untuk membersihkan mata dan membasahkan tekak kepada mereka. Nasib baik saya ada membawa ubat sakit tekak dan ubat titis mata, kata ahli perniagaan itu ketika ditemui di Bandar Hilir.

Beliau berkata, jerebu memaksa beliau mengubah percutian tiga hari keluarganya kepada tarikan pelancong di dalam bangunan seperti muzium, pameran dan pusat membeli-belah.

– BERNAMA


Pengarang :