AGENSISELANGOR

Pelawat domestik belanja wang di Selangor RM13.2 bilion pada 2018

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Selangor mencatatkan jumlah terimaan perbelanjaan pelawat domestik tertinggi iaitu sebanyak RM13.2 bilion, menurut Survei Pelancongan Domestik Mengikut Negeri dan Akaun Satelit Pelancongan 2018.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata​, ​survei yang dilakukan Jabatan Perangkaan pada 2018 turut merekodkan Selangor mencatat ketibaan pelawat domestik paling tinggi iaitu 30.2 juta sepanjang tahun itu.

Selain Selangor, negeri lain yang mencatat jumlah terimaan perbelanjaan pelawat tertinggi adalah Wilayah Persekutuan K​​uala Lumpur (RM10.2 bilion) diikuti Sarawak (RM8.1 bilion), Sabah (RM7.5 bilion) dan Pahang (RM7.4 bilion) dengan kelima-lima negeri berkenaan menyumbang 50.2 peratus daripada keseluruhan terimaan pelancongan.

“Pada 2018, industri pelancongan terus mencatatkan prestasi yang lebih baik dan menyumbang 15.2 peratus berbanding 14.6 peratus pada 2017 kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nilai ditambah industri pelancongan mencapai RM220.6 bilion berbanding RM200.4 bilion tahun lepas dengan mengekalkan pertumbuhan dua digit pada kadar 10.0 peratus.

“Sumbangan pelancongan langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merekodkan pertumbuhan 7.6 peratus dengan nilai RM94.5 bilion berbanding RM87.8 bilion pada tahun lepas,” katanya.

Daripada sudut permintaan, Mohd Uzir menjelaskan penggunaan pelancongan ‘internal’ yang merangkumi perbelanjaan residen dan bukan residen di negara ini merekodkan RM170.4 bilion pada tahun lepas.

Jumlah orang bekerja di dalam industri pelancongan pada 2018 mencatat peningkatan kepada 3.5 juta orang berbanding 3.3 juta pada 2017 manakala guna tenaga dalam industri ini menyumbang 23.5 peratus kepada 14.8 juta jumlah guna tenaga.

Perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman serta perdagangan runcit masing-masing merekodkan bilangan guna tertinggi dengan sumbangan sebanyak 34.1 peratus dan 33.1 peratus.

Maklumat lanjut penerbitan Survei Pelancongan Domestik mengikut Negeri dan Akaun Setelit Pelancongan 2018 boleh diperoleh daripada portal Jabatan Perangkaan di http://dosm.gov.my.

– BERNAMA


Pengarang :