Haniza Talha membuka pili yang telah dipasang bidal air, berkemampuan menjimatkan air sebanyak 10 peratus dalam Program Jimat Air Dun Lembah Jaya 2019 berlangsung di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Pemasangan bidal pada pili boleh jimatkan penggunaan air

AMPANG, 28 SEPT: Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) mensasarkan penurunan satu liter perkapita sehari (LCD) penggunaan air bagi setiap individu di Lembah Jaya Utara kepada 266 LCD berbanding 267 LCD masa kini.

Penolong Presiden 1, Unit Pemantauan Prestasi dan Konservasi Air, Vasan Ramachandran berkata, terdapat 1,671 akaun pengguna di kawasan Lembah Jaya Utara dengan purata jumlah penggunaan 60,752 meter padu.

“Secara purata, penggunaan air domestik isi rumah di sini adalah 8.3 meter padu dan kita mensasarkan penurunan kepada 7.3 meter padu pada masa hadapan.

“Di Kampung Pinggir Tiga, Lembah Jaya Utara terdapat 733 akaun yang menggunakan air sekitar 0.00 sehingga 26.0 meter padu; 563 menggunakan 26.1 sehingga 50.0 meter padu manakala 375 lagi menggunakan air melebihi 50.1 meter padu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada desi taklimat Program Jimat Air Bersama Air Selangor di Dewan Kampung Pinggir Tiga, Lembah Jaya Utara.

Hadir sama EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha.

Haniza dalam ucapannya berkata, pengguna dinasihatkan berjimat cermat kerana pembaziran air bakal merugikan banyak pihak terutama dalam keadaan sumber air yang terhad kini.

Beliau turut bersama-sama menyaksikan teknik pemasangan bidal pada pili air bagi menjimatkan penggunaan di setiap rumah.

“Kita lihat penggunaan air di Lembah Jaya juga tinggi. Saya harap penduduk Lembah Jaya ambil maklum dan menggunakan air secara berhemah,” katanya.

Dalam program sama, Haniza menjelaskan mengenai Skim Air Darul Ehsan yang bakal diperkenalkan pada 1 Mac 2020 bagi keluarga berpendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan sumbangan bank makanan kepada 70 penerima yang layak di DUN Lembah Jaya.


Pengarang :