EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pembakaran terbuka, kompaun maksima RM500,000

MORIB, 14 SEPT: Orang awam yang didapati melakukan pembakaran secara terbuka boleh dikenakan kompaun maksima RM500,000 dan lima tahun penjara.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, jika mereka berjaya ditangkap ketika melakukan pembakaran, kompaun secara terus dikenakan sebanyak RM2,000.

Katanya, Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan berkompromi terhadap mereka yang sengaja melakukan pembakaran terbuka sekali gus tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun kepada golongan terbabit.

“Kita tahu jerebu berpunca kebakaran yang berlaku di Indonesia namun jika terdapat orang awam turut melakukan pembakaran terbuka di Malaysia keadaan kualiti udara sudah pasti bertambah parah.

“Oleh sebab itu, saya nasihatkan orang awam yang ternampak mana-mana pihak melakukan pembakaran secara terbuka, laporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas Majlis Perasmian Pesta Morib dan Kempen 3R (Reduce,Reduce, Recycle) dan #BebasPlastik peringkat Kuala Langat Tahun 2019, di Pantai Morib di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri turut mengarahkan PBT membuat rondaan di semua kawasan yang didapati kualiti udara pada paras tidak sihat.

Orang awam yang mahu menyalurkan maklumat berkaitan pembakaran terbuka juga boleh menghubungi JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau Ibu Pejabat JAS Malaysia (03-88712000) atau menghubungi Bilik Kawalan JAS Selangor (03-55197233).

Terdahulu, kualiti udara di Selangor menunjukkan beberapa kawasan berada dalam paras tidak sihat serta sangat tidak sihat.

Berdasarkan data dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen Johan Setia, Klang berada pada tahap tidak sihat apabila bacaan IPU mencatatkan bacaan 164 setakat jam 2 petang tadi.

Manakala, lima lagi stesen di Selangor turut menunjukkan bacaan IPU tidak sihat ialah Kuala Selangor (114), Petaling Jaya (140), Shah Alam (135), Klang (134) dan Banting (149).


Pengarang :