Kakitangan Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bersama Anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) bersama berganding bahu membancuh kandungan garam dan air bagi menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) susulan dengan kesan jerebu yang semakin teruk di Pangkalan TUDM pada 19 September 2019. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Pembenihan awan atasi jerebu, empangan kering

SECARA am pembenihan awan merupakan satu langkah untuk mendorong hujan turun di sesuatu kawasan yang disasarkan.

Di Malaysia lazimnya, pembenihan awan dilaksanakan dalam beberapa keadaan antaranya untuk meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan empangan pada musim kemarau dan kering berpanjangan.

Pada Febuari 2014, operasi pembenihan awan dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan empangan di Selangor, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Selain diperlukan untuk meningkatkan kapasiti air, operasi pembenihan awan juga dilaksanakan apabila masalah jerebu berada pada tahap membimbangkan.

Bagaimanapun, tahukah anda proses dan prosedur yang perlu diambil bagi memastikan operasi ini berjaya bukanlah mudah kerana ia memerlukan beberapa langkah dan turut bergantung kepada atmosfera.

Sudut sains

Memetik laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dari sudut sains, tujuan utama pembenihan awan adalah untuk meningkatkan keberkesanan proses mikrofizik awan yang terlibat dalam pembentukkan titisan air hujan daripada molekul wap air sedia ada.

Selepas titisan awan terbentuk, ia perlu mengembangkan saiznya kira-kira satu juta kali ganda untuk menjadi titisan hujan.

Dalam usaha supaya keadaan ini berlaku, titisan awan akan melalui proses pelanggaran-tautan berganda (perlanggaran antara titisan yang berbeza saiz akan menyebabkan titisan yang lebih besar terbentuk).

Proses titisan awan berlanggar dan bertaut ini membebaskan haba pendam yang seterusnya menggalakkan lagi proses perlanggaran dan tautan ini.

Titisan awan hanya boleh bertaut atau bergabung jika ia mempunyai caj elektrik bertentangan, jika tidak, ia hanya akan menolak antara satu sama lain.

Apabila titisan awan semakin berkembang dan menjadi lebih berat, ia mulai jatuh menerusi awan di mana titisan lebih besar akan jatuh lebih cepat dan pada masa yang sama mengumpul titisan yang lebih kecil semasa ia jatuh.

Ini menyebabkan titisan menjadi semakin besar dengan keamatan yang lebih tinggi dan turun sebagai hujan.

Kaedah pembenihan

Di Malaysia, terdapat dua kaedah pembenihan hujan iaitu pembenihan basah iaitu semburan larutan garam biasa dan pembenihan kering iaitu pembakaran hygrosopic flare.

Bagi pembenihan basah, sebanyak 200 kilogram garam dan air digunakan bagi menjadikan larutan garam.

Larutan garam tadi diisi dalam empat tangki besar sebelum dimuatkan ke dalam pesawat TUDM C130H.

Akhir sekali larutan garam tadi disembur ke dalam awam pada ketinggian 5,000 hingga 8,000 kaki dari paras laut.

Manakala kaedah pembenihan kering pula, hygrosopic flare dipasang pada pesawat Cessna 340A sebelum flare dibakar di dasar awan pada ketinggian 3,000 hingga 5,000 kaki.

Bagaimanapun, kejayaan pembenihan hujan ini bergantung kepada cuaca seperti angin dan keadaan atmosfera semasa pembenihan dijalankan.

Pegawai Kanan MetMalaysia, Azhar Ishak dalam satu laporan MStar pada Febuari 2014 berkata, hujan akan turun dalam tempoh 10 minit hingga 15 minit selepas operasi dijalankan sekiranya pembenihan berjaya.

Kadar kejayaan dan kos

Sejak 1974, operasi pembenihan awan di Malaysia mencatatkan kadar kejayaan antara 57 hingga 65 peratus.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Datuk Che Gayah Ismail dalam laporan Harian Metro pada Oktober 2015 berkata, setiap operasi pembenihan awan dianggarkan menelan belanja sebanyak RM80,000.

“Kos itu merangkumi kos pesawat, bahan bakar, garam dan kos operasi berkaitan,” katanya.


Pengarang :