Pemandangan Bandaraya Kuching yang berjerebu dirakam dari udara, pada 6 September 2019. – Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Pembenihan awan di Sarawak paling awal Khamis ini

KUCHING, 9 SEPT: Tarikh paling awal untuk melakukan operasi pembenihan awan di Sarawak adalah pada Khamis ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, operasi pembenihan awan bertujuan mengurangkan kesan jerebu terutamanya di kawasan Kuching dan Sri Aman, bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan cuaca.

“Berdasarkan arah tiupan angin dan ramalan cuaca, itulah waktu paling awal. Ia juga bergantung kepada terdapatnya awan sama ada ia meliputi kawasan yang terjejas,” katanya kepada media pada majlis jamuan teh bersempena sambutan Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, di Serian hari ini.

Sementara itu, Uggah berkata, Sarawak turut merayu kepada kerajaan Persekutuan supaya menteri yang berkenaan berbincang dengan Indonesia untuk mencari jalan bagi mengurangkan titik panas di kawasan Kalimantan.

“Di Kalimantan sahaja, terdapat lebih 600 titik panas yang dikesan dan Kuala Lumpur mesti berunding dengan Jakarta bagaimana untuk menyelesaikan isu ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :