Kakitangan Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bersama Anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) bersama berganding bahu membancuh kandungan garam dan air bagi menjalankan operasi pembenihan awan (OPA) susulan dengan kesan jerebu yang semakin teruk di Pangkalan TUDM pada 19 September 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pembenihan awan di Selangor, Perak, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Selangor, Perak dan Pulau Pinang hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan operasi itu menghasilkan hujan terutama di kawasan utara Semenanjung walaupun tidak secara menyeluruh iaitu di Balik Pulau dan Seberang Prai di Pulau Pinang, serta Kulim dan Sungai Petani di Kedah.

Menurut kenyataan itu, antara cabaran dihadapi pasukan OPA dalam operasi berkenaan adalah kesukaran mencari awan yang sesuai akibat jerebu tebal dan kesukaran pesawat untuk melalui kawasan sasaran di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar disebabkan bentuk muka bumi berbukit-bukau.

“Selain itu, pesawat juga mengalami kesukaran untuk meningkatkan keberkesanan OPA di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kerana kebenaran penerbangan yang terhad sehingga ketinggian 4,000 kaki sahaja agar tidak mengganggu aliran trafik udara,” kata kenyataan itu.

Pesawat TUDM bagi operasi tersebut berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang kira-kira 12.45 tengah hari dan mendarat semula di pangkalan sama pada 3.50 petang.

MetMalaysia akan terus memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa dan melaksanakan OPA apabila keadaan atmosfera sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu di kawasan yang terlibat selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

-BERNAMA


Pengarang :