AGENDANASIONAL

Pembenihan awan: Selangor, Negeri Sembilan, Melaka hujan

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Operasi pembenihan awan (OPA) bagi mengurangkan jerebu, yang dijalankan hari ini membuahkan hasil apabila tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka dilaporkan hujan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, operasi itu dilakukan kira-kira 12.30 tengah hari tadi dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut satu hantaran foto dalam laman Facebooknya, MetMalaysia menerangkan proses OPA memerlukan penganalisaan keadaan atmosfera terlebih dahulu bagi menentukan tempoh kesesuaian pelaksanaan operasi itu.

Seterusnya, 200 kilogram garam (natrium klorida) akan dicampurkan dengan 1,500 liter air untuk dimuatkan ke dalam satu tangki OPA menggunakan empat tangki.

Tangki tersebut dimasukkan ke dalam pesawat TUDM C130H yang akan berlepas sekiranya jarak ketampakan sesuai (minimum 500 meter) dan pesawat yang memasuki awan yang dipilih kebiasaannya berada pada ketinggian 1,500 hingga 2,500 meter dari permukaan bumi.

Proses semburan larutan garam akan dimulakan di lokasi pembentukan awan kumulus menara yang seterusnya akan menggalakkan pembentukan titisan awam dan sekiranya berat mencukupi, ia mampu turun sebagai hujan.

Menurut hantaran itu lagi, kebiasaannya hujan antara 30 dan 60 minit selepas pembenihan awan dilakukan.

Sementara itu, walaupun hujan di beberapa kawasan, pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya masih mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat dengan bacaan 202 sehingga 8 malam ini.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan pada 8 malam semalam di Putrajaya adalah 134, dan bagi tempoh 24 jam tersebut sehingga 8 malam ini, menunjukkan trend turun naik antara kategori tidak sihat (101-200) dan sangat tidak sihat (201-300) .

Berikutan itu, semua sekolah di Putrajaya akan ditutup esok susulan bacaan IPU yang melebihi 200 mulai 5 petang tadi dan ini kali pertama sekolah-sekolah di Putrajaya ditutup ekoran jerebu yang melanda negara sejak 5 September lepas.

Di Melaka, semua sekolah akan dibuka seperti biasa esok ekoran bacaan IPU di negeri itu telah turun ke tahap tidak sihat berbanding sangat tidak sihat semalam.

Semalam, media melaporkan semua sekolah di Melaka akan ditutup esok sekiranya IPU di negeri itu mencatat bacaan melebihi 200 hari ini.

Di Johor Bahru, sesi persekolahan di tiga daerah yang ditutup dua hari lepas berikutan IPU sangat tidak sihat, turut akan beroperasi semula seperti biasa esok.

Menurut data APIMS, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Kelantan, Terengganu (kecuali Kemaman, dan Sabah (kecuali Sandakan) menunjukkan bacaan IPU 0 hingga 100 sehingga 8 malam.

Tiga lagi kawasan pula mencatat bacaan sangat tidak sihat iaitu Johan Setia Klang (229) di Selangor dan dua kawasan di Sarawak iaitu Sri Aman (204) serta Kuching (223).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori baik; 51 hingga 100 (sederhana); 101 hingga 200 (tidak sihat); 201 hingga 300 (sangat tidak sihat); manakala 300 ke atas berbahaya dan orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

– BERNAMA


Pengarang :