Foto AFP
AGENDANASIONAL

Pembiayaan filem Hollywood dari dana 1MDB, impak besar pada Najib

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa isu yang paling besar dan menyebabkan impak negatif kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sekitar penularan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2015, adalah pembelian hartanah dan pembiayaan filem Hollywood oleh anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz.

Bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata pembiayaan filem oleh Riza Aziz, 48, yang dikatakan menggunakan dana 1MDB menjadi isu besar, kerana ia dimainkan media-media luar negara yang terkenal iaitu New York Times dan Wall Street Journal (WSJ).

“Pada masa itu tidak diketahui tentang nama syarikat produksi Riza, tetapi kemudiannya didedahkan sebagai Red Granite Pictures. Media-media ini, termasuk portal berita domestik seperti Sarawak Report dan Malaysian Insider, memainkan isu tersebut beserta bukti yang membongkar bahawa Riza membeli hartanah mewah di Amerika Syarikat dan membiayai filem Wolf Of Wall Street, yang dikatakan menggunakan dana 1MDB.

“Sarawak Report pada masa itu mendedahkan bahawa, Riza mendapat wang daripada hasil dana-dana 1MDB yang sekali gus telah memberi kesan langsung kepada Datuk Seri Najib, kerana Riza adalah anak tirinya,” katanya.

Saksi pendakwaan kelapan yang juga saksi penting berkata akibat daripada pendedahan itu, isu 1MDB mula hangat di Malaysia dan menimbulkan kekecohan di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari ketiga perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu, yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya, untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan jumlah wang sama.

Menurut saksi itu, satu lagi isu yang dimainkan portal-portal tersebut adalah pendedahan kehidupan mewah ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, serta perbelanjaan dan pembelian yang mahal dan luar biasa oleh Jho Low, yang dikatakan menggunakan dana daripada pelaburan 1MDB.

Beliau berkata, isu-isu yang didedahkan itu mengejutkan semua orang termasuk dirinya dan bekas ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias.

“Sepanjang tempoh ini, kami (saya dan Datuk Azlin) telah diarahkan oleh Jho Low melalui talking points (nota-nota maklumat) yang diberikan olehnya berhubung perkara ini, untuk memaklumkan kepada semua orang di PMO, bahawa ini semua adalah manipulasi pihak pembangkang dan manipulasi orang yang mahu melihat Najib dijatuhkan.

“Dokumen-dokumen termasuk talking points yang telah disampaikan melalui cara biasa kepada kami oleh Jho Low pada masa itu, adalah bertujuan untuk menjawab laporan-laporan serta tuduhan-tuduhan yang telah tersebar.

“Perkara ini mula menjadi buah mulut di Malaysia dan sekali gus memberi kesan dan tekanan kerja kepada keseluruhan PMO, disebabkan ia melibatkan reputasi dan imej Datuk Seri Najib kerana beliau dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Jho (Jho Low), dalam pelbagai bidang termasuk syarikat 1MDB,” katanya.

Beliau berkata ketika itu perkara berkenaan tidak menjadi isu yang terlalu besar bagi Datuk Azlin, kerana laporan-laporan media tersebut masih memfokuskan kepada Jho Low dan kehidupan mewahnya sahaja, dan bukannya ditujukan secara terus kepada Najib.

“Dalam tempoh tersebut, Datuk Azlin dalam perbualan harian bersama saya ada memaklumkan bahawa, masalah 1MDB ini semakin menular dan banyak serangan-serangan ke atas Najib berlaku akibat daripada pendedahan oleh media.

“Bagaimanapun, beliau tidak berkongsi masalah-masalah ini secara terperinci dan hanya memaklumkan secara am sahaja kepada saya.

“Ini menunjukkan bahawa beliau telah mula mengambil maklum isu 1MDB yang melibatkan Datuk Seri Najib, kerana ia adalah sebahagian daripada tugas beliau sebagai ketua setiausaha sulitnya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pada awal 2015, berikutan penularan isu 1MDB, PMO, melalui Datuk Azlin, perlu menangani isu ‘red flag’ yang melibatkan Najib, kerana beliau paling mahir dan tahu banyak berhubung 1MDB.

“Penularan isu ini semakin meruncing kerana pendedahan itu, disertakan dengan bukti-bukti sokongan seperti gambar, dokumen emel, transaksi bank dan pindahan wang, berhubung penyelewengan dana 1MDB melalui usahasama PetroSaudi dengan 1MDB, yang telah dipindahkan ke akaun peribadi Jho Low,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :