Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian (empat, kanan) bersama kaki tangan Jabatan Alam Sekitar Selangor dan penduduk setempat meninjau kawasan pembakaran terbuka di Johan Setia, Klang pada 13 September 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Pemilik biarkan tanah jadi tempat pembakaran terbuka berdepan tindakan

KLANG, 13 SEPT: Pemilik tanah yang dikesan kerap melakukan pembakaran terbuka di Johan Setia hingga mengundang peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu bakal berdepan tindakan undang-undang termasuk rampasan tanah, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu berkata, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) untuk mengenalpasti pemilik tanah berikutan kebanyakan tanah di kawasan terbabit adalah milik persendirian selain berstatus pertanian.

“Mereka (pemilik tanah) selama ini tidak berusaha bersungguh-sungguh membantu Kerajaan Negeri untuk mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka, jadi kita akan kenalpasti kawasan yang selalu berlaku kebakaran seterusnya mengambil tindakan tegas.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian (dua, kanan) bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor, Shafe’e Yasin (kanan) mengagihkan topeng muka kepada penduduk setempat di Johan Setia, Shah Alam pada 13 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, usaha mengesan pemilik tanah ini bukan senang memandangkan mereka tidak lagi tinggal di sini (Johan Setia), sebaliknya ada yang sudah berpindah ke negeri-negeri lain, tetapi kita akan berusaha sebaik mungkin.

“Sekiranya berjaya dikesan, kita akan memberi kompaun kepada mereka sebanyak RM2,000 dan mengenakan tindakan mahkamah serta menyediakan kertas siasatan bagi kes berkenaan. Jika masih berdegil, kita cadang untuk mengeluarkan borang rampas tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi pembakaran terbuka di Johan Setia dan mengagihkan topeng muka kepada penduduk di sekitar kawasan terbabit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Shafee Yasin.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, pihaknya juga menerima cadangan daripada JAS untuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi menangkap mana-mana individu, terutama warga asing yang didapati menjalankan aktiviti pembakaran terbuka.

“Tidak pasti sama ada warga asing ini memiliki permit sah atau tidak, tetapi ada dalam kalangan mereka memegang kad pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jadi ini yang kita hadapi buat masa ini.

“Kita akan ambil tindakan menangkap mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan melakukan aktiviti pertanian, manakala bagi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), imigresen akan hantar pulang ke negara asal,” katanya.

Mengulas keadaan jerebu di Selangor, katanya, Kerajaan Negeri mengambil ketetapan untuk melaksanakan operasi pembenihan awan di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, iaitu ditahap sangat tidak sihat.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah dan negeri juga perlu diaktifkan apabila IPU mencatatkan bacaan antara 151-200 (melebihi 24 jam) iaitu tahap tidak sihat selain membekalkan dust mask (penutup muka) kepada orang awam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar rumah dan sentiasa memakai topeng muka mengikut cara yang betul bagi mengelakkan kesan kepada kesihatan,” katanya.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat 6 petang tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Shah Alam (141), Klang (137), Banting (136), Petaling Jaya (149) dan Kuala Selangor (105).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).


Pengarang :