AGENDANASIONAL

Pemimpin negara rakam ucapan takziah atas pemergian Dr Md Farid

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, awal pagi tadi.

Dr Wan Azizah Wan menyifatkan Allahyarham Dr Md Farid sebagai seorang rajin dan berdedikasi dalam menjalankan tugas.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tanjung Piai adalah seorang pemimpin Pakatan Harapan yang berusaha membawa Malaysia ke arah yang lebih baik khususnya dalam aspek perpaduan.

Dr Wan Azizah turut berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan Allahyarham ketika kes kematian Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Kelantan pada Jun lalu.

“Saya berurusan dengan Allahyarham ketika (kejadian) di Kuala Koh…kita berbincang bagaimana nak meningkatkan kualiti hidup Orang Asli yang terkesan dengan wabak measles ketika itu,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan topeng muka sumbangan Pusat Khidmat Pandan kepada orang ramai di Kompleks Muhibah Taman Nirwana di sini, hari ini.

Beliau turut memohon rakyat Malaysia mendoakan semoga roh Allahyarham sentiasa dalam perlindungan, dirahmati dan diredai Allah serta ditempatkan dalam kalangan para solihin.

Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri berkata, Allahyarham Dr Md Farid 42, yang juga Naib Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke rumah ibunya di Serkat, Pontian untuk dikebumikan.

Ucapan takziah turut dizahirkan beberapa pemimpin lain termasuk Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinet lain melalui platform Twitter dan Facebook.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula menyifatkan kematian Allahyarham satu kehilangan besar kepada parti itu.

“Allahyarham telah menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dan merupakan antara yang aktif bergerak di Johor. Allahyarham kemudiannya dicalonkan semasa pilihan raya yang lalu dan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai, seterusnya dilantik menjadi Timbalan Menteri.

“Sumbangan jasa dan khidmat baktinya kepada Bangsa dan Negara akan dikenang selama-lamanya,” katanya.

Antara menteri kabinet lain yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Sedih menerima berita pemergian Datuk Dr Md Farid bin Md Rafik pagi tadi. Takziah kepada keluarga Allahyarham dan warga Jabatan Perdana Menteri.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah SWT dan memperolehi husnul khatimah. Al-Fatihah,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pula menyifatkan kematian Allahyarham Md Farid satu berita yang sangat menyedihkan.

“Kehilangan seorang rakan seperjuangan Timbalan Menteri JPM, merangkap Ahli Parlimen Tg Piai Datuk Md Farid Md Rafik. Salam takziah kepada keluarga arwah, semoga tabah dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Kematian Allahyarham turut dirasai Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang sangat aktif berbasikal dan sentiasa cergas.

“Allahyarham adalah seorang pemimpin yang berhati mulia dan berjiwa rakyat yang saya sering sanjungi. Pengorbanan beliau sebagai pemimpin Johor sering menjadi satu “benchmark” untuk semua ikuti. Pemergian beliau telah meninggalkan satu sinergi yang besar dalam semangat kerajaan memupuk perpaduan.

“Ini adalah satu sumbangan besar YB Dr Farid dalam kerajaan Pakatan Harapan. Saya mendoakan keluarga Allahyarham sentiasa tabah dan redha dengan pemergian beliau. Moga Allah swt menempatkan beliau dalam kalangan orang yang bertakwa,” katanya.

Perasaan sedih dan ucapan takziah turut dizahirkan antaranya dari Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

– BERNAMA


Pengarang :