Ng Sze Han berucap pada Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor di Dewan Hamzah MPK, Klang pada 24 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
EXCOSELANGOR

Pemutihan kilang plastik import haram di bawah kuasa JAS, PBT

KLANG, 24 SEPT: Dakwaan Kerajaan Negeri cuba meluluskan kilang sisa plastik import haram menerusi program pemutihan adalah fitnah, kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Katanya, fitnah tidak berasas itu dilemparkan ekoran bermulanya Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran melalui sesi pemutihan bermula 1 Oktober tahun ini.

“Baru sahaja program ini hendak dirasmikan, saya sudah dilemparkan tuduhan tidak berasas sedangkan sebenarnya mana-mana kilang sisa plastik sampah import secara haram sepatutnya mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Setelah mendapat kelulusan ia akan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ini tidak ada kena mengena dengan program pemutihan yang dijalankan Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, ada juga tomahan kononnya kita tidak memberi perhatian serius bagi menangani isu kilang haram. Saya yakin pihak tidak bertanggungjawab ini sengaja mahu memutar belit fakta,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Selangor bertempat di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, sehingga November 2018, Pejabat Tanah Galian Selangor berjaya mengesan 2,885 kilang dibina tanpa kebenaran di atas 2,638 lot tanah pertanian.

Namun hanya 630 kilang berjaya diputihkan dan kesemuanya sudah mempunyai kelulusan tukar syarat, pelan kebenaran merancang dan pelan bangunan.

“Kerajaan Negeri mengambil serius isu ini memandangkan sektor pengilangan yang baik diperlukan bagi merancakkan ekonomi Selangor.

“Oleh itu, kita sentiasa memberi ruang kepada pemilik kilang haram supaya masalah sedia ada dapat diselesaikan. Walau bagaimanapun, segala peraturan dan undang-undang hendaklah dipatuhi oleh pemilik berdaftar tanah dan pengusaha kilang,” katanya.


Pengarang :