AGENSISELANGOR

Pencemaran bau: Bekalan air di empat wilayah pulih semula

SHAH ALAM, 30 SEPT: Empat wilayah yang terjejas ekoran insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Semenyih, pada 28 September lalu pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, ia berdasarkan pemantauan paras kolam dan bacaan tekanan di sistem agihan sehingga 12 tengah hari ini.

“Pihak kami juga ingin memberi maklum balas berhubung beberapa aduan berkaitan kualiti air.

“Hasil siasatan dan pemeriksaan di 120 premis pengadu sehingga jam 12 tengahari, disahkan air terawat yang dibekalkan Air Selangor adalah memenuhi piawaian kualiti air yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Air Selangor turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pelanggan atas kerjasama sepanjang tempoh gangguan dan pemulihan bekalan serta mohon maaf atas segala kesulitan.

“Sila hubungi kami jika pelanggan memerlukan sebarang bantuan berhubung perkhidmatan dan gangguan bekalan,” katanya.

Orang ramai boleh meuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor untuk informasi atau hubungi talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919.


Pengarang :