AGENDANASIONAL

Pendakwaan mohon kes Goldman Sachs dipindah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pihak pendakwaan dalam kes syarikat Goldman Sachs Group Inc yang menghadapi tuduhan jenayah berhubung terbitan bon bernilai AS$6.5 bilion berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mahu supaya kes itu dpindahkan daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menetapkan 22 Oktober untuk pengurusan lanjut kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon tarikh lain untuk memfailkan permohonan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Golden Sachs, tidak membantah permohonan itu semasa pengurusan kes itu hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aaron Chelliah ketika ditemui media berkata, permohonan untuk memindahkan kes itu akan dibuat secara formal dan dokumen akan difailkan.

Pada 19 Disember 2018, pendakwaan menfailkan empat pertuduhan ke atas Goldman Sachs dan didakwa telah meninggalkan fakta-fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak-anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013, di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini, antara 19 Mac 2012 dan 11 November 2013.

Pertuduhan di bawah subseksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Disember tahun lepas, bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa ,46, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memainkan peranan dalam pengeluaran bon berkaitan 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar AS$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014, termasuk sebahagian dana yang dibantu oleh Goldman Sachs.

– BERNAMA


Pengarang :