AGENDANASIONAL

Penderma RM10,000 ke atas perlu kemuka maklumat pada LHDN

PUTRAJAYA, 9 SEPT: Maklumat penderma yang menderma RM10,000 dan ke atas sahaja perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di bawah garis panduan bagi kelulusan ketua pengarah di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, kata LHDN.

Garis panduan baharu itu telah dimuat naik pada laman rasmi LHDN di www.hasil.gov.my, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

LHDN berkata, garis panduan baharu itu menggantikan garis panduan bertarikh 15 Mei dan berkuat kuasa mulai 5 September mengambil kira saranan Menteri Kewangan, iaitu hanya maklumat penderma yang menderma RM10,000 dan ke atas sahaja perlu dikemukakan kepada LHDN berbanding maklumat penderma yang menderma RM5,000 dan ke atas sebelum ini.

LHDN turut menasihatkan semua pihak yang memperoleh kelulusan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 ini agar sentiasa mematuhi setiap syarat yang telah ditetapkan dalam garis panduan tersebut bagi mengelakkan status kelulusan mereka dibatalkan disebabkan oleh sebarang ketidakpatuhan.

– BERNAMA


Pengarang :