AGENSISELANGOR

Pengangkutan awam elemen penting rancak aktiviti ekonomi

SHAH ALAM, 18 SEPT: Pembinaan Terminal Bas di Seksyen 17 (Terminal 17) membantu Kerajaan Negeri mencapai hasrat penyediaan pengangkutan awam melebihi keperluan bagi kenderaan persendirian di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pengangkutan awam merupakan elemen penting dalam pengurusan bandar dan rangkaian itu akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi selain mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Saya percaya dengan terbinanya terminal bas ini akan dapat membantu usaha Kerajaan Negeri mempertingkatkan lagi keselesaan, kesejahteraan serta produktiviti rakyat.

“Inilah bukti kesungguhan berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani isu membabitkan kepentingan rakyat khususnya bidang pengangkutan awam.

“Oleh itu, komitmen pelbagai pihak dan agensi amat penting untuk memainkan peranan yang lebih efisien dan inovatif bagi menambah baik sistem pengangkutan awam di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Terminal 17 dan Pelancaran Laluan Tambahan Bas Smart Selangor (SA04) Shah Alam ke Kampus UiTM, di Terminal Bas Seksyen 17, di sini.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Dato’ Haris Kasim.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyedari akan penyediaan pengangkutan awam yang canggih dan cekap tidak dapat dilakukan dalam sekelip mata.

“Namun, Kerajaan Negeri akan bersama-sama dengan Kerajaan Persekutuan sentiasa komited merealisasikan hasrat ini,” katanya.

Terminal 17 itu mula beroperasi 1 Mei lalu menelan belanja RM7.7 juta dan merupakan bangunan terminal moden serta dilengkapi sistem pengurusan terminal (TMS), Sistem Paparan Maklumat Awam (PIDS) dan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

Antara kelebihan TMS adalah bebas ulat tiket, jadual pelepasan dan ketibaan bas disusun dengan sistematik.

Bangunan itu juga selesa kerana ia dilengkapi sistem berhawa dingin, surau, tandas, kedai serbaneka, mesin pengeluaran wang tunai, tempat letak kereta dan motorsikal serta gerai makanan.


Pengarang :